Hong Leong Bank catat untung bersih RM1.15 bilion pada suku kedua - Utusan Malaysia

Hong Leong Bank catat untung bersih RM1.15 bilion pada suku kedua

KEVIN Lam (kanan) bersama Ketua Pegawai Kewangan Hong Leong Bank, Malkit Singh ketika sesi taklimat kewangan bersama media di Menara Hong Leong, Kuala Lumpur di sini semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Berhad (HLB) mencatatkan untung bersih lebih tinggi bernilai RM1.15 bilion bagi suku kedua tahun kewangan 2025 berakhir 31 Disember 2024, berbanding RM1.08 bilion yang direkodkan bagi suku sama tahun sebelumnya.

Bank itu merekodkan pendapatan sebanyak RM1.63 bilion bagi suku sama daripada RM1.46 bilion pada tahun lalu.

Bagi separuh pertama pula, bank melaporkan untung bersih RM2.24 bilion berbanding RM2.12 billion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat kepada RM3.23 bilion daripada RM2.86 bilion.

Keuntungan operasi untuk separuh pertama meningkat 10.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.96 bilion dan sumbangan pendapatan bukan faedah berkembang 31.3 peratus tahun ke tahun kepada RM757 juta.

Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 28 sen sesaham untuk separuh pertama tahun kewangan 2025.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, bank kekal komited kepada Pelan Transformatif Tiga hingga Lima Tahun mereka dan sedang membuat kemajuan ketara dalam bidang pertumbuhan perniagaan utama rancangan itu.

Ujarnya, ini seperti transformasi cawangan, pengurusan kekayaan serantau, pengembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan jualan francais pasaran global.

“Asas yang telah kami sediakan ini membuahkan hasil yang positif, memberikan keuntungan operasi dan keuntungan sebelum cukai yang membanggakan yang berkembang 10.3 peratus tdan 6.0 peratus tahun ke tahun untuk separuh pertama tahun 2025.

“Portfolio pinjaman dan pembiayaan kasar berkembang mendahului industri pada 7.7 peratus tahun ke tahun kepada RM199.4 bilion, disumbangkan oleh pengembangan dalam segmen gadai janji, pinjaman kereta, PKS dan perbankan komersial serta pasaran luar negara utama.

“Kami terus mengekalkan budaya pengurusan risiko yang berhemat dan proses pengunderaitan kredit yang ketat yang membawa kepada nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) yang sihat sebanyak 0.55 peratus dan nisbah perlindungan nilai pinjaman berhemat (LIC) yang mencukupi sebanyak 139.0 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media sempena Laporan Keputusan Kewangan separuh pertama tahun kewangan 2025 di Menara Hong Leong di sini, semalam.

Mengulas mengenai prospek masa depan, Kevin berkata, ekonomi Malaysia kekal pada laluan pertumbuhan yang stabil dan kekal optimistik dengan berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan untuk 2025 untuk mendahului julat unjuran 4.5 peratus hingga 5.0 peratus.

“Penggunaan swasta yang berdaya tahan ditambah dengan peningkatan realisasi projek pelaburan akan menjadi tonggak pertumbuhan utama, mengurangkan ketidaktentuan yang semakin meningkat pada dasar luar dan perdagangan antarabangsa, yang dijangka mempunyai beberapa kesan terhadap prospek pertumbuhan global dan pasaran kewangan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya