Hartalega catat untung bersih RM19 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2025 - Utusan Malaysia

Hartalega catat untung bersih RM19 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2025

HARTALEGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) mencatatkan untung selepas cukai berjumlah RM19 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2024, lebih rendah berbanding RM23 juta yang direkodkan pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.

Kumpulan mencapai untung sebelum cukai lebih tinggi berjumlah RM37 juta bagi suku tahun yang dilaporkan berasaskan hasil lebih tinggi sebanyak RM738 juta, iaitu dengan peningkatan 78 peratus daripada suku sama 2024.

Ia didorong pendapatan bukan operasi lebih tinggi, kadar tukaran asing lebih baik dan pembalikan peruntukan tertentu yang tidak lagi diperlukan.

Namun, kumpulan mencatatkan untung operasi berjumlah RM36 juta bagi suku tahun yang dilaporkan, satu peningkatan ketara berbanding kerugian operasi RM8 juta yang dialami pada suku tahun yang sama setahun lalu, dipacu oleh jumlah jualan 73 peratus lebih tinggi.

Prestasi ini juga disokong oleh margin operasi baik, yang dicapai menerusi harga jualan purata (ASP) lebih tinggi dan penambahbaikan kecekapan operasi dan kos, sambil kumpulan meningkatkan aktiviti pengeluaran untuk memenuhi permintaan pasaran.

Bagi tempoh terkumpul sembilan bulan berakhir 31 Disember 2024, kumpulan mencatatkan untung selepas cukai lebih tinggi berjumlah RM60 juta.

Prestasi ini dicapai berasaskan hasil berjumlah RM2 bilion, iaitu 51 peratus lebih tinggi berbanding tahun fiskal terdahulu, terutamanya disebabkan oleh jumlah jualan lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, prestasi kewangan kumpulan pada suku tahun ini mencerminkan pemulihan secara beransuran untuk sektor sarung tangan, disokong oleh jumlah jualan dan pertumbuhan hasil lebih tinggi.

“Aktiviti mengisi semula stok di pasaran-pasaran utama dan pelarasan kapasiti telah membantu melegakan sebahagian daripada tekanan bekalan berlebihan.

“Persekitaran yang berubah, termasuk kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini ke atas sarung tangan perubatan getah yang diimport dari China dijangka memberikan dorongan lanjut kepada pengeluar Malaysia untuk merebut kembali bahagian pasaran di pasaran pengguna sarung tangan yang terbesar di dunia,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, pihaknya turut menjangkakan kemungkinan berlakunya fluktuasi permintaan jangka pendek yang mungkin timbul akibat pemajukan pesanan oleh pelanggan AS pada menjelang akhir 2024 sebagai persediaan untuk perubahan tarif.

“Dalam jangka panjang, kami kekal yakin dengan prospek dan asas-asas industri ini. Bagaimanapun, kami tetap perlu berhati-hati dan mengambil kira cabaran yang wujud, termasuk bekalan berlebihan global, tekanan harga kompetitif dan sekatan perkapalan global kerana keadaan geopolitik yang tidak menentu di Timur Tengah.

“Berlatarkan persekitaran semasa, kami memberi tumpuan meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan penggunaan automasi dan meneruskan perkembangan kapasiti secara berdisiplin,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kumpulan mengambil pendekatan strategik dalam langkah menambah barisan pengeluaran baharu di Kompleks Pengeluaran Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) 1.5 di Sepang, bagi menyesuaikan perkembangan kami dengan keadaan pasaran semasa.

“Tahap kesedaran penjagaan kesihatan global yang kian meningkat dan peraturan kebersihan yang semakin ketat dijangka akan terus menyokong permintaan, justeru kami berada pada kedudukan yang kukuh untuk memanfaatkan kepakaran teknologi dan kepimpinan ESG kami untuk memacu pertumbuhan lestari pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya