Harga minyak sawit mentah dijangka meningkat ke RM4,850 - Utusan Malaysia

Harga minyak sawit mentah dijangka meningkat ke RM4,850

HARGA minyak sawit mentah (MSM) dijangka meningkat seawal Ramadan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit dijangka meningkat kepada RM4,850 sebelum kembali turun dalam beberapa minggu akan datang, disokong oleh pemulihan import minyak sawit dari India serta peningkatan harga minyak kacang soya dan minyak bunga matahari.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, perubahan dasar terbaru di Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia juga telah memberi kesan kepada pasaran.

“AS telah mengeluarkan minyak masak terpakai (UCO) yang diimport daripada rantaian bekalan biofuel mereka dan mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas minyak kanola Kanada bermula Mac.

“Ini dijangka meningkatkan permintaan terhadap minyak kacang soya AS sebagai bahan mentah biodiesel.

“Sementara itu, keputusan Indonesia untuk menyekat eksport UCO dan sisa minyak sawit bagi menyokong program biodieselnya dijangka meningkatkan bekalan eksport minyak sawit apabila musim pengeluaran puncak semakin hampir, yang mungkin mengehadkan lonjakan harga lebih lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, stok minyak sawit Malaysia merosot kepada 1.58 juta tan pada Januari 2025, tahap terendah dalam tempoh 21 bulan, walaupun eksport menurun sebanyak 13 peratus dan import dari Indonesia meningkat mendadak sebanyak 133 peratus.

“Malaysia mengalami penurunan pengeluaran tahunan sejak September 2024, dengan penurunan yang lebih ketara pada Januari, mencatat paras terendah 21 bulan pada 1.23 juta tan.

“Pengeluaran yang lemah secara berterusan kekal sebagai faktor utama penurunan eksport. Pada Januari, Malaysia mengeksport 95 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak sawitnya,” ujarnya.

Sementara itu, MPOC berkata, stok minyak sawit di Malaysia dijangka tidak akan meningkat pada Februari disebabkan bulan yang lebih pendek biasanya menyebabkan pengeluaran dan eksport menurun, manakala penggunaan kekal stabil menjelang Ramadan.

“Asas pasaran minyak sawit telah mengukuh susulan penerbitan data bekalan dan permintaan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 10 Februari, yang menunjukkan permintaan lebih tinggi berbanding bekalan.

“Stok minyak sawit di India dijangka mencapai tahap kritikal pada Februari akibat import yang lemah dalam tempoh dua bulan lalu.

“Jumlah import gabungan bagi Disember 2024 dan Januari 2025 adalah sekitar 800,000 tan, jauh di bawah purata keperluan penggunaan domestik bulanan negara itu sebanyak 800,000 tan.

“Akibatnya, permintaan dari India dijangka meningkat pada akhir Februari atau Mac, yang berpotensi mendorong harga minyak sawit lebih tinggi,” ujarnya.

Katanya, Februari merupakan bulan penting bagi petani di Amerika Syarikat ketika mereka membuat keputusan antara menanam kacang soya atau jagung untuk musim penanaman yang akan datang.

“Nisbah harga kacang soya kepada jagung adalah faktor utama dalam keputusan ini. Secara historis, nisbah harga ini purata pada 2.5, bermakna harga kacang soya adalah 2.5 kali lebih tinggi daripada harga jagung.

“Jika nisbah harga jatuh di bawah 2.5, petani cenderung memilih untuk menanam lebih banyak jagung berbanding kacang soya, yang boleh mengurangkan kawasan tanaman kacang soya.

“Pada Januari 2025, nisbah ini jatuh kepada 2.1 daripada 2.8 setahun yang lalu, menandakan petani AS lebih cenderung menanam jagung berbanding kacang soya pada musim penanaman Mei akan datang,” katanya.

Di peringkat global, harga minyak bunga matahari kekal stabil pada Januari dan Februari, didagangkan melebihi AS$1,200 (RM5,363.84) per tan akibat bekalan yang semakin ketat.

Ini berikutan Rusia dan Ukraine telah mempercepatkan eksport minyak bunga matahari mereka pada November dan Disember 2024.

Harga minyak bunga matahari dijangka terus mengukuh berbanding minyak sawit dan minyak kacang soya dalam beberapa bulan akan datang.

Di pasaran sensitif harga seperti Mesir dan India, penggunaan dijangka lebih memihak kepada minyak sawit dan minyak kacang soya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya