Harga emas cecah RM415 segram, dijangka terus meningkat - Utusan Malaysia

Harga emas cecah RM415 segram, dijangka terus meningkat

SEORANG pekerja menyusun gelang emas yang dipamerkan di kedai barangan kemas. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas meneruskan rekod kenaikan apabila pelabur terus mencari aset selamat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat kepada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi.

Harga spot emas meningkat 0.8 peratus kepada AS$2,865.61 seauns (RM405 segram), selepas mencapai paras rekod tertinggi AS$2,882.16 (RM415 segram) ketika awal sesi semalam.

Niaga hadapan emas AS ditutup 0.6 peratus lebih tinggi pada AS$2,893 seauns (RM418 segram).

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, ketidakstabilan polisi AS sehingga kini termasuk perang dagangan dengan China menyebabkan nilai dolar AS semakin lemah dan ini menyebabkan pasaran emas meningkat.

“Hal Ini kerana para pelabur termasuk bank-bank pusat utama di dunia melihat emas merupakan aset yang paling selamat dan stabil bagi mengdepani ekonomi yang tidak menentu dengan dasar polisi AS ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Jelas beliau, harga emas dijangka kekal meningkat naik kerana ia merupakan aset yang paling stabil dan kukuh bagi memastikan kestabilan pendapatan sesebuah negara termasuk malaysia di samping sumber yang lain. 

“Justeru, kenaikan harga emas ini juga menyumbang kepada kenaikan permintaan oleh pelabur emas bukan sahaja terdiri daripada individu tetapi juga syarikat, peniaga dan juga institusi-institusi kewangan lain,” katanya. 

Menerusi satu laporan berita, lonjakan harga emas yang luar biasa dan memecahkan rekod yang dialami pada tahun lepas diteruskan minggu ini apabila harga logam berharga itu melonjak ke paras AS$2,871.74 seauns. 

“Ia meningkat daripada paras AS$2,700 yang dicapai oleh emas pada Oktober tahun lalu dan secara keseluruhannya, meningkat hampir 40 peratus daripada harga pada Januari 2024 apabila logam tersebut berharga AS$2,063.73 untuk jumlah yang sama. 

“Harga emas berkemungkinan akan melepasi paras AS$3,000 sekiranya keadaan ekonomi tertentu menjadi lebih ketara,” katanya. 

Dalam konteks ini, dengan inflasi yang meningkat serta pemotongan kadar faedah yang ditangguhkan, ramai pelabur mungkin sedang mempertimbangkan untuk melabur dalam emas. 

Jelas laporan itu, harga emas telah meningkat dengan stabil sepanjang hampir seluruh tahun lalu, meskipun ada sedikit penurunan sesekali. 

“Dengan semua faktor yang biasanya mempengaruhi harga emas kini jelas kelihatan, terdapat kemungkinan tinggi bahawa harga logam ini akan terus meningkat tahun ini. 

“Oleh kerana potensi ini, fungsi emas sebagai perlindungan terhadap inflasi dan pengagihan risiko dalam portfolio, ramai pelabur yang berpotensi seharusnya memanfaatkan peluang ini untuk meneroka pilihan mereka dan melabur dengan segera,” katanya.

Jelas laporan itu, harga emas boleh meningkat lebih cepat daripada yang dijangkakan. Harga emas mencatatkan rekod tertinggi pada Oktober, tetapi kemudian jatuh pada awal November. 

“Kini, hanya tiga bulan kemudian, harga emas telah mencapai paras tertinggi baharu. 

“Menunggu penurunan harga mungkin satu kesilapan, kerana tiada jaminan logam berharga ini akan menjadi lebih murah. Ia boleh melonjak jika bacaan inflasi kerajaan yang dijangka dikeluarkan minggu depan menimbulkan kebimbangan bahawa harga semakin meningkat.

“Oleh kerana harga emas dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti inflasi, kadar faedah, dasar ekonomi domestik, ketegangan geopolitik dan banyak lagi, sebarang kombinasi faktor ini boleh mempengaruhi harga dan menyebabkan ia meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya