GWM mahu jadi jenama 4X4 tulen - Utusan Malaysia

GWM mahu jadi jenama 4X4 tulen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN mengendalikan jentera 4X4 bukan menjadi hobi untuk semua.

Di Malaysia, ia adalah satu sukan lasak yang membabitkan cabaran manusia dan jentera di dalam lumpur, tetapi di negara lain, bergantung kepada bentuk muka bumi dan cuaca di lokasi tersebut.

Baru-baru ini, GWM membawa beberapa petugas media ke pergunungan Changbai yang terletak di timur laut China, berhampiran dengan sempadan Korea Utara.

Pusat percutian musim sejuk itu memang mencabar kerana suhu mampu mencecah melampaui -20 darjah Celcius dan keadaan salji yang tebal menjadikan perjalanan sedikit sukar jika kenderaan tidak mempunyai sistem 4X4 yang baik.

GWM memberi peluang kepada penulis untuk menguji sendiri beberapa model 4X4 dari jenama itu untuk merasai sendiri teknologi 4X4 unik yang dibangunkan mereka.

Antara model yang dipandu melalui kawasan bersalji tebal itu ialah dari model Tank 400 dan Haval H9.

Kedua-dua kenderaan itu dipasang dengan tayar musim salji biasa, bukan dari jenis tayar salji “studded” (yang mempunyai ceracak besi).

Sebelum ini, penulis pernah beberapa kali memandu di kawasan yang bersalji tebal dan di kawasan berais. Untuk permukaan salji, tayar salji biasa sudah memadai dan untuk permukaan berais, tayar “studded” lebih sesuai.

Namun begitu, untuk kawalan kenderaan terbaik, sistem pacuan 4X4 yang pantas dan responsif akan membantu. Jika tidak, sukar untuk mengawal kenderaan dan kemungkinan untuk terbenam lebih tinggi.

GWM Tank 400
Sebuah SUV yang dibina di atas kerangka “ladder” mirip sebuah trak pikap, GWM menggunakan reka bentuk konsep “mecha” yang mirip kepada sebuah jentera perisai ketenteraan.

Dilancarkan di dalam tahun 2023, ia dipacu dengan enjin 2.0L turbo dengan tenaga maksimum 252hp dan 380Nm, lebih kurang sama seperti Tank 300 yang dijual di Malaysia.

Tank 400 juga hadir dalam varian PHEV, di mana enjin dan sistem elektrik itu menghasilkan 408hp dan 750Nm.

Ia mampu menyelam laluan air sedalam 800mm dan dilengkapi dengan sistem 4X4 canggih – Hi4-T.

Sistem 4X4 Hi4-T adalah sistem pacuan empat roda mekanikal yang mampu menyalurkan 100 peratus tenaga ke satu roda sahaja, dan ini membantu di kawasan licin.

Ia memungkinkan pemandu keluar daripada kawasan sukar walaupun hanya satu roda yang mampu mendapat cengkaman.

Paling penting, ia adalah satu sistem yang mudah dikendali oleh pemandu kerana ia cuma mempunyai dua butang utama untuk kegunaan ekstrem – butang 4L dan “diff-lock”.

Dalam keadaan lain, sistem komputer itu yang akan memilih jenis pacuan yang sesuai.

Ini mungkin tidak digemari oleh penggemar sukan 4X4 kerana mereka lebih mahukan kawalan manual sepenuhnya tetapi GWM percaya sistem automatik seperti ini memudahkan mereka yang baharu berkecimpung di dalam hobi.

Selain dari sistem pacuan tersebut, GWM menggunakan kamera-kamera berdefinisi tinggi untuk membantu pemandu memberitahu keadaan permukaan jalan dan objek-objek yang ada di persekitaran kenderaan.
Ini cukup membantu dan memudahkan pemandu.

GWM Haval H9 Generasi Kedua
Ini ialah generasi kedua untuk model SUV mewah bersaiz besar.

Enjin petrol 2.0L turbo dipadankan dengan transmisi 8-kelajuan automatik, juga dengan pacuan roda Hi4-T.

Sama seperti Tank 400, walaupun Haval ini besar dan lebih berat, ia sama lincah dengan Tank 400 dan masih mampu dibawa secara agresif.

Penulis mencuba meredah salji tebal dan sistem pacuan 4-roda dan enjin turbo itu masih mampu memastikan kenderaan tidak terbenam.

Malah, masih boleh dibawa untuk aksi “drift” di dalam salji!

Sistem Hi4-Z
Sebenarnya, GWM dalam acara yang sama melancarkan teknologi Hi4-Z yang baharu di mana ia adalah sistem pacuan 4-roda yang lebih canggih.

Pacuan 4-roda akan menggunakan aci pacu (drive shaft) untuk menghantar tenaga ke gandar belakang tetapi untuk Hi4-Z, ia tidak dibekalkan dengan komponen tersebut.

Roda-roda belakang dipacu 100 peratus menggunakan motor elektrik sahaja, dan sistem komputer mengawal kadar kemasukan daya kilas dan tenaga agar ia selari dengan roda-roda di hadapan.

Rekaan yang tidak memerlukan aci pacu ini juga akan menjadikan bateri yang dipasang di tengah kerangka itu tidak lagi perlu dibahagi kepada dua untuk memberi laluan kepada batang aci itu.

Hasilnya, sebuah jentera 4X4 yang mampu dipasang dengan bateri yang lebih besar, memberikan lebih banyak tenaga dan mengurangkan lagi penggunaan bahan api untuk enjinnya.

Sistem ini sudah mula diperkenalkan di beberapa pasarab global dan Haval H9 juga akan diperkenalkan di Malaysia nanti.

Dari segi kedudukan model, model-model Tank adalah model yang lebih premium dari Haval. Pesaing untuk model-model GWM ini ialah SUV 4X4 tulen seperti Range Rover, Land Rover, Toyota Land Cruiser, Nissan Patrol dan sebagainya.

Punca kebangkitan kenderaan China di Arab Saudi

Penulis sempat menemuramah Bakur Azher, Ketua Pegawai Eksekutif untuk Azher Information Technology, sebuah syarikat yang sudah lama mengendalikan laman web automotif Saudi Auto (saudiauto.com.sa).

Menurut Bakur, produk automotif dari China mula popular di Arab Saudi bukan kerana peningkatan harga bahan api selepas proses pengurangan subsidi bahan api yang dilakukan secara berperingkat sejak penghujung 2015 (harga seliter petrol di sana sekarang ialah RM2.91).

“Walaupun harga bahan api sudah meningkat, ia masih mampu oleh kebanyakan pengguna di Arab Saudi,” kata Bakur.

Beliau berkata kemunculan kenderaan China bermula sebaik sahaja tamat pandemik Covid 19 di mana pasaran automotif di Arab Saudi mula rancak tetapi syarikat-syarikat kenderaan tidak mempunyai stok.

“Arab Saudi mengimport 99 peratus dari kenderaannya. Masalah timbul bila pembeli tidak dapat membeli kenderaan baharu kerana ketiadaan stok,” katanya.

Ini benar kerana kilang-kilang kenderaan global memberi keutamaan kepada pasaran domestik masing-masing dan untuk negara yang mengharapkan kenderaan import sahaja, stok kenderaan tidak mencukupi.

Bakur kemudian menerangkan bahawa syarikat automotif dari China nampak peluang itu dan mula membanjiri pasaran automotif Arad Saudi.

“Jika pembeli tidak mahu menunggu berbulan-bulan untuk kenderaan-kenderaan dari Jepun, Korea, Eropah atau US, mereka akan membeli produk dari China kerana stok sudah tersedia,” katanya.

Dari situ, pembeli automotif Arab mula sedar bahawa produk automotif dari China mempunyai kelengkapan yang tinggi dan kualiti yang lebih baik dari dulu.

“Harga kenderaan dari China juga lebih rendah dan memberikan pulangan nilai yang baik,” ujarnya.

Jenama-jenama seperti Changan, MG, Geely, Jetour, GWM dan sebagainya mula memenuhi jalan-jalan di Arab Saudi dan China sendiri memberi fokus yang lebih kepada pasaran tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya