PETALING JAYA: Syarikat e-panggilan, Grab menyumbang sebanyak RM9.9 bilion kepada ekonomi negara pada 2023, bersamaan kira-kira 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Laporan baharu oleh firma perunding ekonomi tempatan EconWorks itu mendedahkan, syarikat platform teknologi yang menawarkan perkhidmatan e-panggilan dan penghantaran itu menyediakan akses kepada peluang pendapatan yang fleksibel dan menyokong pertumbuhan digital perniagaan kecil.
Pengarah Urusan EconWorks, Dr. Wan Khatina Nawawi berkata, sepanjang 12 tahun beroperasi di Malaysia, Grab telah memberi sumbangan yang ketara serta manfaat ekonomi kepada pelbagai komuniti di seluruh Malaysia.
“Bagi setiap RM1 yang dijana melalui transaksi Grab, RM1.50 aktiviti ekonomi tambahan dicipta merentasi ekonomi yang lebih luas. Ini menggariskan impak positif ekosistem Grab terhadap jutaan rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian mereka.
“Laporan ini mengukur impak operasi Grab dan kesan lanjut perkhidmatan atas permintaannya terhadap pekerja gig dan perniagaan yang menjana pendapatan dan menjual produk mereka di platformnya,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, antara penemuan utama lain, sebanyak 88 peratus daripada sumbangan nilai tambah ini datang daripada rakan-pemandu dan rakan-niaga Grab yang beroperasi merentasi pelbagai perkhidmatan Grab.
“Pada 2023, rakan-pemandu menyumbang RM4.6 bilion dalam nilai tambah, mewakili 0.25 peratus daripada KDNK Malaysia,” katanya.
Selain itu, ekosistem Grab menyokong sehingga 277,237 peluang pendapatan, menyediakan aliran pendapatan untuk rakan-pemandu, rakan-niaga, dan pekerja-pekerja dalam rantaian bekalan menyeluruh mereka.
“Ini bermakna satu daripada 64 individu dalam tenaga kerja Malaysia mendapat manfaat, secara langsung atau tidak langsung, daripada aktiviti berkaitan Grab.
“Peluang pendapatan yang disediakan oleh Grab telah menyumbang tambahan RM3.7 bilion kepada pendapatan isi rumah. Peningkatan pendapatan oleh rakan-pemandu dan rakan-niaga ini bermakna lebih banyak wang dalam poket rakyat Malaysia,” katanya.
Tambah Wan Khatina, laporan itu menyerlahkan kelebihan persekitaran perniagaan Malaysia yang menyokong, yang kini memberi tumpuan kepada ekonomi digital, membolehkan syarikat platform seperti Grab berkembang maju dan menyumbang secara bermakna kepada ekonomi. – UTUSAN