PETALING JAYA: Glocomp Systems (M) Sdn. Bhd. (Glocomp), penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi terkemuka di Malaysia berkerjasama strategik dengan pemegang kepentingan utama industri untuk memacu penerapan kelestarian dalam sektor pembuatan.
Kerjasama itu melibatkan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Microsoft Malaysia, dengan sokongan Kementerian Digital.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif itu merupakan langkah penting dalam mengintegrasikan inovasi digital dengan usaha kelestarian dalam sektor pembuatan negara.
“Kerjasama strategik awam-swasta ini adalah hasil daripada usaha dan komitmen semua pihak yang terlibat.
“Mereka telah berusaha tanpa henti bagi merealisasikan kerjasama ini, yang menjadi kebanggaan Malaysia, dengan menghimpunkan kepakaran, teknologi dan sokongan industri yang tepat untuk membawa perubahan bermakna kepada sektor pembuatan negara,” katanya semasa Majlis Pelancaran Kerjasama Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Strategik Awam-Swasta di sini, semalam.
Beliau berkata, dengan memanfaatkan alat digital canggih serta teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengautomasikan proses dan meningkatkan produktiviti, pengilang boleh menambah baik pelaporan ESG, menjejak pelepasan karbon dan mengoptimumkan penggunaan sumber untuk memperkukuh usaha kelestarian mereka.
“Ekonomi digital Malaysia perlu sejajar dengan penanda aras kelestarian antarabangsa bagi memastikan industri kita kekal berdaya saing dalam rantaian bekalan global.
“Dengan syarikat multinasional memberi keutamaan kepada pematuhan ESG, pengilang tempatan perlu menerima pakai amalan lestari untuk mengekalkan akses pasaran dan menarik peluang perniagaan baharu.
“Penerapan penyelesaian digital berfokuskan ESG seharusnya melangkaui pematuhan peraturan semata-mata, sebaliknya menjadi pelaburan strategik bagi masa depan industri Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Glocomp, Joseph Giam berkata, dengan menerima pakai amalan ESG terbaik yang diiktiraf di peringkat global, pengilang boleh meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran eksport utama.
“Matlamat sebenar ESG adalah untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan lestari dan daya tahan perniagaan jangka panjang.
“Dengan mengintegrasikan penyelesaian digital untuk mengukur, menjejak dan mengoptimumkan prestasi kelestarian, pengilang kita boleh membuka peluang pasaran baharu, mengukuhkan kedudukan dalam rantaian bekalan global dan meningkatkan kedudukan negara sebagai hab pembuatan yang bertanggungjawab serta inovatif,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si menyifatkan Perintis Microsoft Cloud untuk Kelestarian sebagai langkah penting dalam memajukan matlamat ESG di seluruh Malaysia.
“Dengan bekerjasama dengan kerajaan, persatuan dan industri, kami berhasrat untuk memperkasakan pengilang bagi membuka ruang inovasi dan meletakkan mereka pada kedudukan terbaik untuk merebut peluang dalam ekonomi hijau global,” katanya. – UTUSAN