Ekspo dan Forum Perniagaan Pearl of Africa 2025 sasar potensi perdagangan AS$5 bilion - Utusan Malaysia

Ekspo dan Forum Perniagaan Pearl of Africa 2025 sasar potensi perdagangan AS$5 bilion

DR. BETTY Oyella Bigombe (tiga dari kanan) bersama bersama Datuk Irwin SW Cheong (tengah) pada sidang media Ekpo Pearl of Africa Business Forum 2025 di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekspo dan Forum Perniagaan Pearl of Africa 2025 menjangkakan potensi perdagangan sebanyak AS$5 bilion (RM23.15 bilion) termasuk penerokaan dalam sektor minyak dan gas.

Pesuruhjaya Tinggi Uganda ke Malaysia, Dr. Betty Oyella Bigombe berkata, forum ini bertujuan untuk menggalakkan dan meningkatkan jumlah perdagangan dua hala antara Uganda dan Malaysia, dengan jangkaan pertumbuhan yang pesat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, Uganda melihat Malaysia sebagai rakan kongsi utama dalam memperkukuhkan perdagangan bilateral dengan tumpuan meningkatkan hubungan ekonomi dan peluang pelaburan antara kedua-dua negara.

Ini termasuk tumpuan terutama sektor mineral, minyak dan gas, pelancongan serta pertanian.

“Uganda memiliki kekayaan sumber daya alam, tenaga kerja yang dinamik, dan lokasi geografi strategik di Afrika Timur, menjadikannya destinasi pelaburan yang ideal.

“Kami banyak belajar dari Malaysia. Kami melihat Malaysia sebagai rakan utama dalam negara ini dan objektif kami menganjurkan expo ini adalah untuk mempromosikan Uganda sebagai destinasi pelaburan baharu di Afrika,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Forum anjuran Suruhanjaya Tinggi Uganda ke Malaysia dan World-One Business Federation di Renaissance Hotel, Kuala Lumpur itu bakal menjadi acara pertama bermula 23 hingga 24 April 2025.

Betty berkata, pertanian kekal sebagai tulang belakang ekonomi Uganda, menyumbang kepada 53 peratus daripada pendapatan eksport negara dan menggaji lebih 73 peratus daripada populasi negara itu.

“Uganda diiktiraf di peringkat global untuk kualiti kopi yang tinggi. Kami mencari pelabur dalam penambahan nilai, pemprosesan agro dan pengeluaran baja organik untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing,” katanya.

Selain itu, Betty berkata Uganda juga kaya dengan sumber mineral seperti emas, tembaga dan litium.

“Oleh itu, kerajaan Uganda mencari kerjasama dalam penerokaan mineral, pengambilan dan penambahan nilai untuk memacu perindustrian dan transformasi ekonomi.

“Kami juga memiliki bidang sains dan teknologi. Sektor teknologi maklumat dan komunikasi Uganda berkembang pesat dengan peningkatan digitalisasi dan transaksi e-perniagaan.

“Kami mengalu-alukan kerjasama dalam pembangunan infrastruktur, industri perisian dan perkakasan,” katanya.

Jelas Betty, Uganda juga mempunyai zon ekonomi dan pelaburan khas untuk taman perindustrian (Taman Perindustrian Namanve, Mbale dan Kapeeka), zon perdagangan bebas (Jinja dan Entebbe), serta hab minyak dan gas (pembangunan di Albertine Graben untuk kilang penapisan dan logistik).

Menurut Bank Uganda, eksport ke Malaysia pada 2024 berjumlah AS$108.29 juta (RM481.64 juta) manakala, import dari Malaysia pada tahun lepas adalah AS$250.13 juta (RM1.1 bilion). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya