Dividen KWSP hingga enam peratus mampu dicapai

Dividen KWSP hingga enam peratus mampu dicapai

KWSP dijangka mengumumkan dividen lebih tinggi bagi 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpotensi mengumumkan dividen sehingga enam peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.6 peratus Simpanan Syariah bagi tahun kewangan 2024 seperti yang disasarkan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi pendapatan kasar pelaburan KWSP bagi tempoh sembilan bulan pertama telah pun meningkat sebanyak 20 peratus.

Katanya, berikutan perkembangan tersebut, dividen KWSP seharusnya berada jajaran yang lebih tinggi berbanding tahun 2023.

“Saya menjangkakan sekitar 5.6 peratus hingga 5.8 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.4 peratus hingga 5.6 peratus bagi Simpanan Syariah.

“Prestasi pasaran ekuiti global dan domestik telah mencatatkan kenaikan dua angka secara umumnya yang mana pasaran ekuiti sememangnya penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan KWSP.

“Selain itu, suasana kadar faedah yang stabil iaitu Kadar Dasar Semalam (OPR) yang dikekalkan pada paras 3.0 peratus juga menyumbang secara positif bagi kelas aset instrumen pendapatan tetap dan pasaran kewangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, strategi pelaburan yang mempelbagaikan kelas aset dan juga dari sudut pendedahan secara geografi juga memungkinkan pihak KWSP mencatatkan prestasi yang baik tahun lalu.

“Pihak KWSP sentiasa berhati-hati dalam pendekatan mereka untuk melabur wang ahli KWSP dengan dibantu oleh pasukan pengurusan dana yang berpengalaman serta pasukan penyelidikan ekonomi, ekuiti dan kuantitatif yang sentiasa membantu dalam keputusan pelaburan KWSP.

“Dalam pada itu, tadbir urus yang jelas dan dikendalikan secara profesional juga membolehkan keputusan pelaburan yang berkualiti dilaksanakan,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dividen KWSP 2024 seharusnya lebih tinggi dari 2023 iaitu antara 5.5 peratus kepada enam peratus atau lebih lagi bagi kedua-dua simpanan.

Katanya, ini berikutan prestasi Bursa Malaysia yang memberangsangkan yang ditunjukan secara purata mata indeks dari sekitar 1,400 mata kepada lebih 1,600 mata.

“Selain itu, prestasi korporat Malaysia dalam hampir semua sektor utama seperti kewangan, perladangan, pembinaan serta telekomunikasi dan teknologi maklumat (IT) menunjukkan peningkatan untung yang lebih dari tinggi dari tahun sebelumnya.

“Pelaburan domestik KWSP melibatkan pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat strategik Malaysia menunjukkan peningkatan yang baik dalam tahun 2024, dengan jangkaan dividen yang baik.

“Untuk 2024, berlakunya Penurunan kadar faedah yang tidak terlalu drastik oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang turut memberikan pulangan luar negara yang baik kepada KWSP.

“Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS turut menyumbang kepada perolehan keuntungan pertukaran mata wang asing yang baik,” ujarnya.

Tahun lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion dan 5.40 peratus untuk Simpanan Syariah, dengan jumlah agihan RM7.48 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan agihan pendapatan untuk 2023 sebanyak RM57.81 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN