PETALING JAYA: Colform Group Berhad (Colform), pakar keluli dan bahan binaan di Malaysia Timur membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 40 sen sesaham, premium 11.11 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 36 sen sesaham.
Colform telah berjaya mengumpul sebanyak RM41.19 juta daripada IPO, dan merancang untuk menggunakan RM9 juta menubuhkan barisan pengeluaran salutan warna baru di Kota Kinabalu, manakala RM4.50 juta bagi membina kemudahan penyimpanan baharu di Kota Kinabalu untuk meningkatkan kecekapan operasi.
Selain itu, sebanyak RM5.10 juta untuk meluaskan kehadiran pasarannya dengan menubuhkan cawangan dan kilang di Klang, Semenanjung Malaysia, RM18.09 juta bagi tujuan modal kerja serta RM4.50 juta perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan Colform Group Berhad Kang Ket Hung berkata, penyenaraian itu merupakan pencapaian monumental bagi kumpulan.
“Pencapaian kejayaan ini mewakili dedikasi kami untuk menyampaikan penyelesaian keluli berkualiti dan meluaskan jejak kami di seluruh Malaysia.
“Dana yang diperoleh daripada IPO ini akan membolehkan Colform mengukuhkan operasi, meningkatkan penawaran produk dan terus meneroka peluang pasaran baharu yang komited,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE.
Untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2024, Colform mencatatkan keuntungan kasar RM23.47 juta, mengatasi untung kasar RM21.02 juta pada tahun kewangan 2023, walaupun hasil lebih rendah sebanyak RM76.97 juta berbanding RM92.53 juta pada tempoh sama tahun sebelum.
Mengulas mengenai cara Colform menangani peningkatan harga bahan bakar, Ket Hung berkata, kumpulan akan memasukkan sebahagian besar bahan mentah dan bahan api pada waktu tertentu setiap kali menerima projek baharu.
“Ini bagi mengawal margin dan mengelakkan fluktuasi harga bahan utama.
“Menurut laporan Kajian Pasaran Bebas (IMR),industri bahan bakar di Sabah dan Sarawak dijangka berkembang pesat disebabkan pemulihan sektor pembinaan serta inisiatif kerajaan yang menyokong pertumbuhan.
“Kami percaya industri bahan bakar di Malaysia akan terus berkembang secara mampan, disokong oleh usaha kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur, merangsang pembangunan dan memacu ekonomi pasca pandemik.
“Perkembangan ini memberikan peluang besar kepada pemain industri seperti Colform untuk meningkatkan tawaran produk serta memperkukuhkan kehadiran kami dalam industri bahan bakar,” katanya. – UTUSAN