BNM, Bank Indonesia dan Bank Thailand perluasan transaksi rentas sempadan - Utusan Malaysia

BNM, Bank Indonesia dan Bank Thailand perluasan transaksi rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Indonesia (BI) dan Bank of Thailand (BOT) mengumumkan penerapan Garis Panduan Operasi Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan (LCTF OG) yang terselaras serta perluasan transaksi rentas sempadan yang layak di bawah rangka kerja tersebut.

Dalam kenyataan bersamanya, ketiga-tiga bank pusat berkata, LCTF OG terselaras ini akan meningkatkan konsistensi, skala dan kecekapan bagi menyokong transaksi mata wang tempatan antara ketiga-tiga negara.

Katanya, penyelarasan ini menyepadukan garis panduan dua hala yang telah ditetapkan antara negara tersebut serta membolehkan proses transaksi rentas sempadan yang lebih teratur dan telus bagi institusi kewangan yang mengambil bahagian serta pelanggan mereka.

“Garis panduan terselaras ini menetapkan parameter operasi yang setaraf untuk semua negara peserta di samping mengambil kira keperluan dasar khusus setiap negara.

“Selain perdagangan dan pelaburan langsung, rangka kerja ini turut merangkumi pelaburan portfolio sebagai transaksi asas yang layak.

“Para pelabur kini mempunyai pilihan yang lebih luas untuk menjalankan transaksi dalam mata wang tempatan di samping mengurangkan risiko pertukaran asing,” katanya.

Berikutan perkembangan ini, BNM, BI dan BOT mengalu-alukan tambahan bank-bank perdagangan yang layak untuk menyertai dan menyokong LCTF yang diperluas tersebut.

Jelasnya, bank-bank ini akan memainkan peranan penting dalam memudahkan transaksi mata wang tempatan menerusi kepakaran, kekukuhan operasi dan rangkaian rentas sempadan mereka.

“Malaysia, Indonesia dan Thailand telah menyaksikan peningkatan berterusan dalam transaksi mata wang tempatan untuk penyelesaian perdagangan dua hala sejak pelaksanaan LCTF.

“Rangka kerja dan operasi yang diselaraskan ini akan memberikan pilihan yang lebih luas kepada perniagaan untuk menjalankan transaksi rentas sempadan,” ujarnya.

Tambahnya, langkah ini juga mencerminkan komitmen ketiga-tiga negara dalam usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya