ALOR SETAR: Aurelius Hospital Alor Setar (AHAS) yang beroperasi sejak Jun tahun lalu menawarkan penjagaan kesihatan bertaraf premium, sekali gus menjanjikan keselesaan dan kepuasan kepada penduduk di utara tanah air.
Pengarah Pengurusan Kumpulan Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata, AHAS yang merupakan hospital swasta terbesar di Kedah tidak hanya memfokuskan kepada perkhidmatan kesihatan terbaik semata-mata.
Katanya, AHAS turut memudahkan ramai pesakit yang sebelum ini terpaksa mengharungi perjalanan panjang ke Kuala Lumpur atau Pulau Pinang bagi mendapatkan perkhidmatan yang terkini dan selesa.
“Peralatan canggih disediakan sesuai dengan keperluan terkini bagi memastikan setiap pesakit mendapat peluang untuk memperolehi rawatan terbaik melalui bantuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Kami memperuntukkan sejumlah besar kos hanya untuk menyediakan peralatan dan pelbagai keperluan di bahagian unit radiologi. Ia bagi membolehkan pesakit didiagnos sebaik mungkin untuk memastikan mereka menerima rawatan tepat.
“Dalam masa sama, kami harap pesakit menikmati pengalaman lebih selesa ketika dirawat. Contohnya, mesin pengimejan resonans magnet (MRI) model Philips 1.5 Tesla kurang bising dan ‘terowong’ lebih besar yang turut mampu mengurangkan klaustrofobia,” katanya selepas Majlis Pelancaran AHAS oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Amir Firdaus berkata, mesin X-Ray ‘DDR- Challenger X’ di AHAS juga mampu melaksanakan kerja-kerja diagnosis dengan lebih cepat yang setakat ini hanya terdapat dua mesin itu di negara ini termasuk salah satunya di hospital itu.
Katanya, AHAS memiliki 21 doktor pakar selain mampu menampung hingga 250 katil setelah fasa empat pembukaan AHAS untuk khidmat pergigian dan dermatologi beroperasi kelak.
“Kami turut memiliki pakar bedah saraf, selain dilengkapi makmal kateterisasi vaskular hibrid (OT Cath Lab) untuk prosedur jantung dan vaskular lanjutan yang jarang terdapat di tempat lain.
“Caj kemasukan ke wad buat masa ini RM150 untuk bilik berdua dan RM280 untuk bilik individu bagi satu malam. Pada masa akan datang, kami akan menawarkan bilik berempat pada harga RM100 selain memiliki tiga bilik bertaraf suite,” katanya.-UTUSAN