KUALA LUMPUR: Ariani Ready To Wear (RTW) berkolabarasi dengan sebuah gedung fesyen mewah terkemuka antarabangsa, Liberty of London sempena Hikayat Ariani Karya Seindah Busana 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Ariani, Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip berkata, buat julung kali pihaknya amat berbangga dapat bekerjasama menggunakan kain daripada Liberty sempena perayaan Aidilfitri kali ini.
Katanya, Liberty dikenali sebagai sebuah fesyen terkenal dunia terutama Eropah dengan fabrik ‘cotton’ dengan coral yang agak eksklusif.
“Selain menawarkan pilihan fabrik yang berkualiti dengan corak bunga ikonik, Liberty juga menawarkan fesyen ‘ready to wear’, aksesori wanita, barangan kecantikan dan dekorasi rumah dengan sentuhan klasik dan unik.
“Koleksi Liberty X Ariani ini menampilkan lima rekaan potongan tradisional dengan enam pilihan corak evergreen dari Liberty sebagai simbolik mengangkat nilai budaya Malaysia bersama jenama antarabangsa,” katanya dalam sidang media Hikayat Ariani Karya Seindah Busana 2025.
Menurut beliau, Ariani RTW X Liberty menawarkan harga bermula RM800 hingga 1,000 untuk sepasang baju.
“Ini bukan sekadar untuk mengaut keuntungan namun, bagi memberi peluang rakyat Malaysia merasai sendiri keunikan kain cotton dari Liberty.
“Terdapat lebih lima corak, enam potongan berbeza pada setiap rekaan dan ia sangat terhad,” katanya.
Farah Haryani berkata, Ariani juga menjangkakan peningkatan jualan sebanyak 20 peratus pada tahun ini.
“Sasaran ini dijangka dicapai dengan sambutan yang baik yang diterima daripada para pelanggan.
“Bukan sahaja kaum hawa namun, terdapat pilihan untuk kaum lelaki dan kanak-kanak yang menarik untuk semua pelanggan,” katanya.
Jelas Farah Haryani, pihak Ariani turut menyediakan lebih 300,000 helai merangkumi baju wanita, lelaki, kanak-kanak dan tudung kali ini.
Dalam pada itu, Ariani turut menyasarkan pembukaan cawangan baharu di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada tahun ini.
Ketika ini, Ariani mempunyai 22 cawangan Ariani seluruh negara. – UTUSAN