PETALING JAYA: Agrobank mengumumkan pembiayaan Inisiatif Agrobazar Ramadan kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan sempena bulan puasa yang menawarkan pembiayaan bermula RM1,000 hingga RM100,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif itu bertujuan membantu golongan yang berhasrat untuk berniaga di bazar Ramadan dan memerlukan bantuan kewangan.
“Fokus utama kami adalah untuk membantu peniaga-peniaga ini mengusahakan perniagaan berasaskan makanan atau pelbagai aktiviti perniagaan sempena bulan Ramadan.
“Kami turut membantu para peniaga dengan menyediakan kanopi eksklusif Agrobank agar beban persediaan perniagaan mereka dapat diringankan,” katanya dalam kenyataan.
Inisiatif yang berlangsung daripada 13 Februari 2025 sehingga 31 Mac 2025 itu terbuka kepada semua pelanggan baharu dan sedia ada Agrobank yang berminat untuk menceburi dunia peniagaan di bazar Ramadan pada bulan yang penuh keberkatan ini.
Selain itu, Agrobank menerusi Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) telah bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam mempromosi Kempen Bazar Ramadan Tanpa Tunai 2025 kepada peniaga bazar Ramadan.
Kempen Bazar Ramadan Tanpa Tunai 2025 dirangka khusus dengan kerjasama strategik lima pihak PBT dan PayNet untuk mempromosikan penggunaan Kod QR Agrobank sebagai mod pembayaran utama bagi peniaga-peniaga kecil.
Peniaga-peniaga bazar Ramadan yang menggunakan DuitNow QR Agrobank sebagai kaedah utama menerima bayaran di 16 tapak bazar Ramadan yang terpilih akan berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM40,000.
Sementara itu, Tengku Ahmad berkata, Agrobank menyokong penuh usaha kerajaan negeri Selangor dalam memperkasakan dan memperkukuhkan keperluan sosioekonomi rakyat dipenuhi dan menggiatkan pertumbuhan ekonomi di negeri itu.
“Agrobank komited untuk terus menyokong usahawan mikro dan komuniti yang memerlukan, dengan menyediakan pembiayaan yang fleksibel untuk membantu mereka mencapai kejayaan dalam peniagaan,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai cara memohon pembiayaan atau syarat-syarat yang terlibat, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Agrobank atau mengunjungi cawangan Agrobank yang berdekatan. – UTUSAN