SKUTER maxi atau skuter besar semakin popular di Malaysia, dan seperti biasa, pasaran motosikal alaf baharu mempunyai kemahuan dan kehendak yang mencabar syarikat automotif.
Untuk genre ini, mereka mahukan skuter yang besar dan dengan gaya adventure, agar boleh pergi menunggang off-road seperti sebuah scrambler atau motosikal dwi-fungsi.
Realitinya, anda akan dapat skuter besar yang berat dan kebolehan meredah semak samun sama seperti sebuah Proton Wira Aeroback – tidak begitu menarik dan lebih banyak merosakkan kenderaan.
Apa pun, kita kena akui tren skuter adventure ini bermula dari Honda yang menjadikan ia popular dengan model-model ADV mereka – dari sekecil ADV 160 kepada ADV 350 dan X-ADV 750.
Semuanya berjaya dan cukup popular, dan seperti biasa, pastinya jenama China akan ada yang mengikuti. Kami terbang ke Taishan, Guangdong untuk mencuba buat kali pertama skuter Zontes 368G.
Model ini mempunyai reka bentuk seperti sebuah Honda ADV, tetapi menurut Zontes, ia lebih kepada sebuah robot animasi Gundam.
Ia dijana menggunakan enjin silinder tunggal sejukan cecair dengan sesaran 368 cc, menghasilkan 38 hp dan 40 Nm.
Transmisi ialah CVT sementara sistem gantungan hadapan ialah dari jenis fork terbalik. Di belakang, ia kekal skuter sejati di mana enjin menjadi sebahagian dari lengan ayun.
Brek-brek cakera dari Jota Juan, dilengkapi ABS 2-channel. Roda pula ialah 17-inci di hadapan dan 14-inci di belakang, menggunakan roda berlidi tanpa tiub.
Dengan pelana setinggi 790 milimeter (mm) (ada varian yang rendah), penulis setinggi enam kaki tidak mempunyai masalah besar kerana skuter ini tidak begitu lebar.
Di atas jalan berturap, ini ialah sebuah skuter yang mempunyai prestasi menarik.
Enjinnya sangat responsif dan sekali pulas, curahan tenaga melimpah ruah masuk tanpa henti, sehingga kelajuan mencecah atas 140 kilometer sejam (km/j).
Fungsi brek juga cukup memuaskan, mampu memperlahankan skuter besar ini dalam masa yang boleh diterima. Mungkin kerana brek moden dan tayar-tayar yang besar yang membantu ia berhenti.
Paparan meter TFT cukup mantap, hampir menyamai panel meter dari jenama Jerman dan jauh meninggalkan jenama-jenama Jepun.
Jika kebanyakan motosikal China mempunyai skrin TFT berwarna yang besar, reka bentuk interface selalunya berserabut dan tidak menarik. Untuk model ini, ia memang cantik!
Zontes ini juga dilengkapi dengan kamera definisi tinggi di hadapan dan di belakang.
Untuk tunggangan off-road, ABS roda belakang boleh dimatikan, membenarkan penulis menguncikan roda belakang ketika mengambil selekoh tajam.
Sayangnya, dengan berat melebihi 200 kilogram (kg) dan bertumpu kepada bahagian belakang, serta lengan ayun yang berat kerana ia bersepadu dengan enjinnya, sukar sedikit untuk mengawal skuter ini di kawasan berpasir atau berbatu.
Mungkin penulis perlukan lebih masa untuk membiasakan diri dengan jentera dua roda yang beratnya lebih ke belakang.
Apa yang pasti ialah pembeli akan ada hasrat dan angan-angan untuk pergi off-road tetapi realitinya, 95 peratus masa Zontes 368G ini akan dihabiskan di atas jalan berturap.
Sebenarnya, itu lebih bagus kerana prestasi serta harga yang diminta (RM28,800) menjadikan skuter Zontes ini satu pembelian terbaik.
Cuma sekarang ini Zontes perlu memastikan wujudnya khidmat selepas jualan yang bagus serta stok alat ganti yang baik bagi meyakinkan pasaran yang pernah terkena dengan janji manis model-model China dahulu seperti Nitro, Comel dan sebagainya.
SPESIFIKASI
Zontes 368G
Enjin: 368cc SOHC silinder tunggal sejuk cecair
Tenaga maksimum: 38.2 hp @ 7,500 rpm
Daya kilas maksimum: 40 Nm @ 6,000 rpm
Transmisi: CVT
Berat kasar: 203 kg
Isipadu tangki bahan api: 17.5L
Keluasan kargo bawah pelana: 52L
Harga: RM28,800 tanpa insurans dan pendaftaran (harga dicadangkan) – UTUSAN