PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia mencadangkan agar kerajaan dapat mewartakan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada penjaja dan peniaga di seluruh negara sebagai jaminan pada hari tua.
Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya melihat ada keperluan untuk golongan peniaga dan penjaga untuk menyediakan caruman mengikut jumlah pendapatan yang diperoleh.
“Saya juga ingin memohon kepada kerajaan agar dapat memberikan subsidi sebagai alternatif untuk membantu sekali gus menggalakkan golongan berkenaan (penjaja dan peniaga) untuk mencarum kepada KSWP.
“Jika sebelum ini, kerajaan melaksanakan caruman Perkeso kepada penjaja dan kini, kami berharap agar dapat membolehkan golongan terlibat mencarum untuk KWSP.
“Dari segi jumlah, kami tidak memaksa atau meletakkan sebarang ketetapan namun, penjaja dan peniaga boleh membuat caruman mengikut kemampuan seperti bayaran mingguan RM10 atau secara sebulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, setakat ini, beliau bagaimanapun belum bertemu dengan mana-mana pihak termasuk kementerian yang terlibat untuk menyuarakan hasrat tersebut.
Katanya, sekiranya dilaksanakan terdapat jaminan masa depan kepada golongan peniaga dan penjaja bagi membolehkan mereka menguruskan simpanan KWSP pada usia lanjut.
“Malah, kerajaan juga boleh mengumpul data dan statistik untuk memberikan sebarang bantuan kepada golongan terbabit.
“Saya percaya dengan adanya sasaran jumlah peniaga dan penjaja yang mencarum kita aka mempunyai maklumat lengkap dan mengelakkan subsidi yang diberikan oleh kerajaan diserahkan kepada warga asing,” katanya.
Rosli berkata, sehingga kini, terdapat anggaran 1.5 juta penjaja dan peniaga melibatkan semua kaum di seluruh negara.
Ujarnya, melalui kerajaan Madani, kerajaan melaksanakan pelaksanaan e- invois mulai 1 Jun 2024 hingga 1 Jan 2027, membolehkan perniagaan serta pembayar cukai mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakan dan menyesuaikan diri dengan sistem dengan berkesan.
“Selain itu, pada Januari 2025, penjaja dan peniaga berlesen diwajibkan mencarum Perkeso bermula 1 Januari 2025.
“Oleh yang demikian, saya melihat langkah ini dilihat kerajaan prihatin sekali gus mendisiplinkan golongan terlibat (penjaja dan peniaga). Saya juga melihat perkara ini baik dan usaha yang berterusan akan memberi manfaat kepada mereka,” katanya. – UTUSAN