PETALING JAYA: Uzma Berhad (Uzma) melancarkan UzmaSAT-1, satelit pemerhatian bumi (EO) beresolusi tinggi komersial pertama Malaysia dalam memajukan industri angkasa negara.
UzmaSAT-1 telah dihantar ke orbit rendah bumi melalui pelancaran Falcon 9 Transporter 12 oleh SpaceX pada pukul 4.06 pagi semalam.
Sebagai sebahagian daripada rantaian lebih 25 satelit yang diuruskan oleh Satellogic, UzmaSAT-1 akan memberikan imej beresolusi tinggi submeter (sehingga 50 sentimeter setiap piksel) serta data membolehkan industri dan kerajaan membuat keputusan berasaskan data dengan lebih bijak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Uzma Berhad, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed berkata, ketangkasan dan kebolehsuaian Uzma yang diasah melalui pengalaman puluhan tahun dalam sektor minyak dan gas telah mempersiapkan mereka menghadapi cabaran yang kompleks.
“Menceburi bidang angkasa selaras dengan perjalanan transformasi kami dalam pendigitalan, inovasi dan teknologi. Pencapaian ini mencerminkan langkah besar dalam keupayaan Malaysia untuk memimpin teknologi geospatial canggih di rantau ini.
“Dengan meneroka angkasa, kami bukan sahaja mencari peluang baharu tetapi juga membuka jalan ke arah masa depan yang mampan dan dipacu teknologi,” katanya dalam kenyataan.
Pelancaran itu juga memperkukuh keupayaan platform Uzma Digital Earth (UzmaDE), satu penyelesaian analitik data dan kecerdasan buatan (Al) geospatial yang canggih.
UzmaDE sudah pun beroperasi, menyediakan perkhidmatan geospatial Al dengan memanfaatkan data daripada pelbagai sumber satelit.
Dengan penambahan UzmaSAT-1, platform ini akan memperluas keupayaan pemprosesan data untuk menawarkan analisa data yang lebih tepat dan berkesan.
Beliau berkata, syarikat menjangkakan bahagian ‘Digital Earth’ Uzma akan berkembang dengan ketara seiring dengan peningkatan kesedaran terhadap perkhidmatannya.
“Kami yakin industri angkasa lepas mempunyai potensi untuk turut menyumbang secara signifikan kepada portfolio syarikat, seiring dengan perkhidmatan minyak dan gas kami, di masa hadapan.
“Pelancaran UzmaSAT-1 menandakan permulaan era baharu untuk Uzma dan Malaysia dalam teknologi angkasa lepas.
“Dalam pada Uzma terus memanfaatkan data satelit dan teknologi canggih, syarikat berada di landasan yang terbaik untuk memacu inovasi dan pertumbuhan serantau, serta mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri maklumat geospatial,” katanya. – UTUSAN