Untung Bersih Bursa Malaysia melonjak kepada RM310.1 juta bagi TK2024 - Utusan Malaysia

Untung Bersih Bursa Malaysia melonjak kepada RM310.1 juta bagi TK2024

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mencatatkan keuntungan selepas cukai, zakat dan faedah minoriti (PATAMI) berjumlah RM310.1 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK2024), melonjak 22.9 peratus daripada RM252.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan tersebut didorong prestasi kukuh dalam pasaran sekuriti dan derivatif serta perniagaan data, yang menyumbang kepada pertumbuhan 27.8 peratus dalam hasil operasi kepada RM757.7 juta, berbanding RM592.8 juta pada 2023 .

Sementara itu, jumlah perbelanjaan operasi bagi tempoh sama meningkat sebanyak 26.8 peratus kepada RM373.4 juta berbanding RM294.5 juta pada tahun sebelunya.

Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kos kakitangan yang lebih tinggi, yuran penyelenggaraan dan perkhidmatan teknologi maklumat (IT), bersama-sama dengan pembalikan peruntukan pada tahun kewangan 2023.

Lembaga pengarah meluluskan dan mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 18.0 sen sesaham untuk tahun kewangan 2024, dilengkapi dengan dividen khas sebanyak 8.0 sen sesaham, mengagihkan sejumlah kira-kira RM210.4 juta.

Digabungkan dengan dividen interim sebelumnya, ini menjadikan jumlah dividen kepada 36.0 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 93.9 peratus untuk tahun kewangan 2024.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, 2024 sememangnya tahun yang kukuh bagi pasaran modal ekuiti Malaysia dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 12.9 peratus, meletakkan Bursa Malaysia sebagai satu daripada pasaran berprestasi tinggi ASEAN.

Katanya, pencapaian ini membawa kepada permodalan pasaran keseluruhan melepasi paras RM2.0 trilion pada Mei 2024 buat kali pertama.

“Bursa Malaysia juga muncul sebagai bursa saham terkemuka untuk tawaran awam permulaan (IPO) di ASEAN, dengan 55 penyenaraian baharu yang secara kolektif memperoleh RM7.4 bilion, menyumbang kepada jumlah permodalan pasaran IPO sebanyak RM31.4 bilion.

“Angka-angka ini adalah bukti keyakinan yang dimiliki oleh kedua-dua syarikat dan pelabur dalam bursa sebagai platform yang dipercayai untuk pengumpulan dana dan pelaburan.

“Walaupun menghadapi cabaran global, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025, disokong oleh rangka kerja Ekonomi Madani kerajaan dan pelaksanaan pelan hala tuju dan rancangan nasional, dengan unjuran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya