Trafik penumpang udara capai lapan juta pada November - Utusan Malaysia

Trafik penumpang udara capai lapan juta pada November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trafik penumpang udara mencapai lapan juta penumpang bagi November 2024, peningkatan kukuh sebanyak 15.8 peratus berbanding November 2023, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Suruhanjaya berkata, ini menunjukkan pemulihan dan pertumbuhan berterusan dalam sektor penerbangan Malaysia, walaupun terdapat sedikit penurunan sebanyak 0.5 peratus bulan ke bulan berbanding Oktober 2024.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, jumlah trafik udara bagi November menekankan pertumbuhan positif yang telah disaksikan sepanjang 2024 dalam sektor penerbangan Malaysia, dengan kesalinghubungan antarabangsa memainkan peranan penting.

“Pengembangan laluan baharu dan peningkatan kapasiti secara konsisten telah mengukuhkan kesalinghubungan udara antarabangsa Malaysia. Kami yakin momentum ini akan berterusan pada 2025.

“Mavcom kekal komited untuk memacu industri penerbangan yang mampan dan berdaya tahan yang menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor penerbangan, dan memastikan hak pengguna penerbangan senantiasa dilindungi,” katanya dalam kenyataan.

Suruhanjaya memberitahu, jumlah penumpang pada bulan November mencatatkan 88.7 peratus daripada trafik yang direkodkan pada November 2019, kekal dengan trend pemulihan yang konsisten yang dilihat sepanjang tahun 2024.

Menurutnya, pertumbuhan tahun ke tahun didorong terutamanya oleh lonjakan dalam perjalanan antarabangsa, disokong oleh pembukaan laluan baharu dan peningkatan kapasiti tempat duduk.

“Sementara itu, penurunan kecil bulan ke bulan mencerminkan penyesuaian perjalanan bermusim, di mana pengguna penerbangan cenderung menunda perjalanan untuk memanfaatkan cuti sekolah pada Disember.

“Trafik penumpang udara domestik pada November 2024 menyumbang 47.5 peratus daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang udara, dengan 3.8 juta penumpang.

“Angka ini menunjukkan peningkatan 10.9 peratus tahun ke tahun berbanding November 2023, walaupun terdapat penurunan 1.6 peratus bulan ke bulan berbanding Oktober 2024,” ujarnya.

Mavcom berkata, trafik penumpang domestik mencapai 83.3 peratus daripada paras yang dicatatkan pada November 2019, mencerminkan pemulihan yang stabil dalam sektor penerbangan.

“Trafik penumpang udara antarabangsa mencatatkan 4.2 juta pada November 2024, mencerminkan peningkatan sebanyak 20.7 peratus tahun ke tahun dan kenaikan 0.5 peratus bulan ke bulan.

“Trafik ASEAN merekodkan peningkatan 13.5 peratus tahun ke tahun, manakala trafik bukan ASEAN melonjak dengan ketara sebanyak 28.9 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Katanya, sepanjang 11 bulan pertama 2024, jumlah trafik penumpang mencapai 88.3 juta penumpang, meletakkan Malaysia di landasan yang tepat untuk mencapai unjuran trafik penumpang MAVCOM bagi sepanjang tahun, iaitu antara 95.4 juta hingga 97.6 juta penumpang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya