PETALING JAYA: Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (ProLintas) menegaskan syarikat mempunyai dasar sifar toleransi terhadap pelanggaran integriti dan tadbir urus seterusnya akan mengambil segala tindakan yang perlu untuk menangani serta melindungi kepentingan syarikat.
Ini susulan pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Pegawai Operasi (COO) ProLintas, Ir. Rostam Shahrif Tami dan pengurus projek, Zairulnizam Rohani.
ProLintas menjelaskan, individu-individu terlibat adalah bersekutu dengan Turnpike Synergy Sdn. Bhd., syarikat yang bertanggungjawab dalam pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
“Individu-individu yang terlibat telah diberi cuti masing-masing sejak 9 Julai 2024 dan 16 Julai 2024.
“ProLintas amat serius terhadap dakwaan ini dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan SPRM yang sedang berjalan.
“Kami akan terus memberi sokongan dan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang berkaitan dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan.
ProLintas memaklumkan, syarikat komited sepenuhnya untuk mencapai tahap integriti dan tadbir urus korporat yang tertinggi dalam semua operasi perniagaan.
“Kami akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan bahawa proses dalaman kami kukuh dan selaras dengan amalan terbaik tadbir urus,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi (COO) ProLintas, Rostam Shahrif Tami, 59 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM70,000 daripada syarikat pembinaan berhubung projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE), pada 12 April 2023.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Rostam didakwa secara rasuah menerima satu suapan bagi dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM70,000 daripada sebuah syarikat pembinaan melalui seorang individu sebagai upah bagi dirinya.
Mengikut pertuduhan, Rostam didakwa telah menerima rasuah wang tunai berjumlah RM70,000 daripada Wakil Pegawai Penguasa, Syarikat Satunas Technologies Sdn. Bhd.
Ia bagi Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) memberikan kerja No 3 bertajuk ‘To Construct End Cap Stressing And Shear Block’ dan ‘To Install Expension Joint Including Hacking, Grouting And Nosing’ kepada syarikat terbabit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan tempat letak kereta sebuah masjid di Jalan Damai, Kampung Datuk Keramat, pada 12 April 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama. – UTUSAN