KUALA LUMPUR: Triterra Sdn. Bhd. (Triterra) mencatatkan pencapaian apabila bangunannya, The MET Corporate Towers diiktiraf sebagai Pembangunan Pejabat Terbaik di Asia melalui Anugerah Hartanah Asia PropertyGuru 2024.
Majlis anugerah berprestij yang berlangsung di Bangkok itu meraikan kecemerlangan pembangunan hartanah di peringkat serantau, di mana Triterra berdiri sebaris dengan lima finalis utama dari negara-negara seperti China, Filipina, Vietnam dan Hong Kong.
Pencapaian itu menyusul kejayaan berganda Triterra di PropertyGuru Property Awards Malaysia baru-baru ini, menjadikannya anugerah ketiga dalam tempoh tiga bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Triterra, Christopher Lim berkata, pihaknya berbangga menerima pengiktirafan serantau itu yang mencerminkan dedikasi mereka dalam membentuk masa depan ruang kerja.
“Ini bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, tetapi turut menjangkakan keperluan perniagaan pada era yang dipacu inovasi, kebolehsuaian dan kelestarian.
“Matlamat kami adalah mencipta persekitaran yang menginspirasikan pertumbuhan serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
The MET Corporate Towers memainkan peranan penting dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan syarikat global dalam landskap perniagaan yang semakin memerlukan ruang kerja fleksibel, berteknologi tinggi dan mesra alam.
Dengan menawarkan ruang pejabat yang setanding dengan pembangunan terbaik di rantau ini, Triterra menarik minat pelabur asing dan syarikat multinasional, seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perniagaan dinamik di Asia.
Christopher berkata, keupayaan Triterra bergantung pada pemahaman mendalam terhadap perubahan pantas dalam corak bekerja, memastikan setiap pembangunannya bersedia untuk masal hadapan.
“Dengan teknologi cekap tenaga, ruang berfokuskan komuniti dan fleksibiliti untuk model kerja hibrid, The MET menetapkan piawaian baharu dalam pembangunan komersial di Asia.
“Berlandaskan kejayaan itu, Triterra kini memberi tumpuan kepada pembangunan masa depan, sambil memperkukuh peranannya dalam mentakrif semula landskap hartanah komersial,” ujarnya.-UTUSAN