KUALA LUMPUR: The MET Corporate Towers (The MET), hasil pembangunan Triterra Sdn. Bhd., tampil sebagai mercu tanda baharu di landskap komersial Malaysia dengan berkonsep 3rd Space atau ruang korporat inovatif menggabungkan fungsi, gaya hidup dan pengurusan penyewa terkini.
Sebagai pejabat strata Kelas A pertama di Malaysia, The MET memperkenalkan ruang pejabat yang direka khas untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan tulang belakang ekonomi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Triterra, Christopher Lim berkata, dengan memperkenalkan konsep baharu yang menetapkan penanda aras sebagai Kelas Perniagaan Baharu, The MET menggabungkan kerja dan rekreasi, mencipta persekitaran dinamik untuk produktiviti, gaya hidup dan komuniti.
“The MET terletak di lokasi strategik dalam kawasan elit Mont Kiara, tidak hanya menawarkan pemandangan kota yang memukau tetapi juga menjadi hab perniagaan global.
“Dengan jaraknya berdekatan dengan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pembangunan ini menawarkan akses yang tiada tandingan kepada pusat-pusat ekonomi utama.
“Kawasan kejiranan yang pelbagai dengan lebih daripada 50 kewarganegaraan juga memposisikan The MET sebagai tempat yang menggalakkan kerjasama dan inovasi di kalangan profesional dari seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.
Elemen utama yang membezakan The MET ialah konsep 3rd Space, yang memperkenalkan pendekatan baru terhadap ruang kerja dengan mengintegrasikan elemen kerja, santai dan gaya hidup dalam satu lokasi.
Christopher berkata, Triterra tidak mahu sekadar membina pejabat, tetapi inginkan komuniti yang menyokong kejayaan, memberi ruang untuk inovasi dan meningkatkan pengalaman harian.
“The MET adalah refleksi komitmen kami terhadap kecemerlangan dan inovasi.
“Dengan lokasi yang strategik, reka bentuk yang futuristik, dan penyelesaian yang berpusatkan penyewa, The MET Corporate Towers bukan sekadar ruang kerja, namun ia adalah penanda aras baru untuk ruang korporat moden,” katanya.
Menurutnya, inovasi lain di The MET adalah penekanan terhadap fleksibiliti dan pengurusan yang berpusatkan penyewa.
“Dengan pilihan ruang pejabat dari saiz kecil untuk syarikat pemula hingga seluruh tingkat untuk korporat besar, rekaannya membolehkan penyewa mengembangkan operasi tanpa perlu berpindah.
“Menara A menawarkan pelbagai pilihan ruang di aras rendah, pertengahan dan tinggi,” katanya.
The MET juga akan melancarkan perkhidmatan Trek Rides, sistem Transit Responsif Permintaan (DRT) yang mempermudah pergerakan penyewa dan pengunjung di sekitar kawasan ini.
Perkhidmatan itu menonjolkan komitmen Triterra terhadap aksesibiliti dan kemudahan, memastikan pengalaman perjalanan yang lancar bagi semua. – UTUSAN