PETALING JAYA: Terbitan bon korporat di Malaysia meningkat kepada RM124.2 bilion pada 2024, melepasi paras RM118.3 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, menurut laporan RAM Ratings.
Agensi penarafan kredit itu berkata, sektor kewangan dan hartanah terus menjadi pemacu utama terbitan, masing-masing menyumbang RM51.7 bilion dan RM19.9 bilion.
Trend ini mencerminkan pola serupa yang dilihat pada 2023.
RAM Ratings menjangkakan momentum ini akan berlanjutan pada 2025 dengan unjuran terbitan bon korporat kekal sihat pada paras RM110 bilion hingga RM120 bilion.
“Keperluan pembiayaan infrastruktur dan pembiayaan perniagaan dijangka menyokong aktiviti penerbitan bon korporat yang stabil.
“Bagaimanapun, terbitan kasar Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Sukuk Kerajaan (GII) menyusut kepada RM176.7 bilion pada 2024, berbanding RM190.9 bilion yang dicatatkan pada 2023,” katanya dalam satu laporan.
Agensi penarafan kredit itu menjelaskan, laporan itu turut menjangkakan terbitan MGS dan GII akan terus merosot kepada RM155 bilion hingga RM165 bilion pada 2025, selaras dengan pengurangan keperluan pembiayaan defisit kerajaan berikutan komitmen kepada penyatuan fiskal serta keperluan yang lebih sederhana dalam pembiayaan semula hutang yang matang tahun ini.
“Komitmen kerajaan terhadap pengurusan fiskal yang mampan dan usaha mengurangkan defisit bajet menjadi faktor utama kepada penurunan unjuran terbitan ini,” katanya.
Sementara itu, pasaran bon Malaysia merekodkan aliran masuk dana asing yang lebih sederhana pada RM4.8 bilion pada 2024, jauh lebih rendah berbanding RM23.6 bilion pada 2023.
Laporan itu menyatakan, jualan besar-besaran di pasaran bon yang berterusan hampir sepanjang tahun, disebabkan ketidaktentuan terhadap dasar kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), menjejaskan sentimen pelabur asing.
“Ketidaktentuan terhadap prospek kadar faedah Fed dan pandangan bahawa penurunan kadar faedah mungkin tidak berlaku dalam tempoh terdekat menyebabkan kekurangan pemangkin untuk menarik minat pelabur asing pada 2025,” katanya.
Dalam pada itu, RAM Ratings memaklumkan, jualan besar-besaran di pasaran bon dilaporkan berkurangan menjelang akhir tahun, tetapi pendirian Fed yang kurang dovish dan penurunan jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah dalam tinjauan dot-plot Disember menyumbang kepada prospek yang sederhana bagi pasaran bon pada tahun ini.
Dengan keadaan ini, RAM Ratings menjangkakan landskap pasaran bon Malaysia akan kekal mencabar, namun disokong oleh kekuatan domestik seperti keperluan pembiayaan perniagaan dan infrastruktur. – UTUSAN