PETALING JAYA: Kerajaan perlu menggalakkan rakyat terutama pengguna domestik beralih kepada penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) terutama solar untuk mengurangkan kesan jika berlaku kenaikan tarif elektrik.
Walaupun kerajaan memberi jaminan tarif elektrik untuk semua sektor kekal sehingga Jun tahun ini, tetapi kenaikan kos bahan api global menyebabkan usaha mengekalkan tarif itu bagi tempoh yang panjang agak sukar.
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., iaitu syarikat pembekal tenaga boleh baharu, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, untuk mengurangkan kesan ketara kepada pengguna jika berlaku kenaikan tarif maka TBB terutama solar adalah alternatif terbaik.
Kata, ini terbukti apabila pengguna yang memasang solar fotovoltaik (PV) di bawah program Permeteran Tenaga Bersih (NEM) kategori NEM Rakyat mampu menjimatkan bil bulanan hingga 90 peratus.
Untuk sektor komersial terutama perusahaan kecil dan sederhana pula katanya, terdapat NEM Nova yang menawarkan penjimatan sama kepada pengguna perniagaan.
“TBB adalah alternatif untuk menjimatkan bil elektrik bagi pengguna domestik dan mengekang kenaikan dalam kos pengeluaran bagi sektor komersial jika berlaku kenaikan tarif elektrik.
“Untuk itu kerajaan perlu merangka polisi yang lebih konkrit dan untuk tempoh masa yang panjang supaya pengguna pada bila-bila masa boleh beralih kepada sumber tenaga alternatif sekiranya mereka mahu,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa ini kata, program NEM berdasarkan kepada kuota yang ditetapkan oleh kerajaan.
Katanya, jika kuota habis mereka yang mahu beralih kepada tenaga solar tidak dapat berbuat demikian dan terpaksa menunggu pengumuman kuota baharu.
Guntor berkata, walaupun pada masa ini subsidi digunakan untuk mengurangkan beban kepada pengguna, tetapi untuk jangka masa panjang ia akan memberi beban kewangan yang serius kepada kerajaan.
“Mengekalkan subsidi adalah salah satu langkah untuk mengurangkan kesan kenaikan tarif elektrik kepada pengguna. Satu lagi adalah dengan menggalakkan pengguna beralih kepada tenaga boleh baharu.
“Pasang solar di rumah misalnya boleh jimat bil elektrik dan sebab itu program NEM perlu ditambah baik dan perlu diteruskan,” katanya.
Selain itu kata Guntor, pengguna sama ada domestik mahupun komersial mempunyai pelbagai pilihan yang menjimatkan kos dari segi pemasangan.
“Sebelum ini agak sukar untuk pasang solar kerana kos pendahuluannya yang agak tinggi. Namun sekarang Gading Kencana memperkenalkan skim sewa milik (Rent2Own) yang membolehkan pemasangan solar dibuat tanpa kos pendahuluan.
“Pelanggan dapat menikmati penjimatan bil elektrik sehingga 90 peratus dan mendapat insentif tunai di bawah Insentif Solar Untuk Rakyat (SOLARIS) dari kerajaan sehingga RM4,000,” katanya. – UTUSAN