PETALING JAYA: Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) telah menyelesaikan pengambilalihan Sunway Kluang Mall yang dahulunya dikenali sebagai Kluang Mall pada 30 Disember 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management, Clement Chen berkata, pengambilalihan itu memperkukuh portfolio Sunway REIT sebagai satu daripada Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) terkemuka di Malaysia.
“Kami secara strategik meluaskan kehadiran kami di Johor, yang merupakan negeri pertumbuhan tinggi dan magnet untuk pelaburan.
“Berpaksikan jenama Sunway yang kukuh dan rekod prestasi yang terbukti dalam pengurusan runcit, kami melihat peluang untuk mempertingkatkan lagi pusat beli-belah melalui pengoptimuman penyewaan, pengurusan proaktif dan inisiatif peningkatan aset (AEI) yang meningkatkan potensi pertumbuhan hartanah,” katanya dalam kenyataan.
Sunway REIT berkata, Sunway Kluang Mall terletak di tengah-tengah Johor, menjadikannya sebuah bandar strategik yang menghubungkan ke bandar-bandar utama seperti Johor Bahru, Muar dan Batu Pahat.
Katanya, ia menyediakan sambungan yang sangat baik ke bahagian lain di Semenanjung Malaysia melalui lebuh raya dan kereta api utama.
“Dengan populasi lebih daripada 320,000 dan potensi kira-kira 1 juta penduduk tambahan di Johor tengah, daerah Kluang berfungsi sebagai destinasi runcit dan gaya hidup pilihan di rantau ini.
Sunway Kluang Mall kini 99 peratus diduduki, dengan lebih 130 penyewa. Pusat beli-belah itu menawarkan pelbagai tawaran runcit, termasuk jenama antarabangsa dan tempatan, kedai makanan dan minuman (F&B) serta perkhidmatan hiburan dan gaya hidup.
“Diterajui oleh Pacific Hypermarket & Department Store, penawaran meluas pusat beli-belah itu seperti perkhidmatan kesihatan dan kecantikan, pawagam dan pusat boling meningkatkan pengalaman runcit keseluruhan.
“Sunway Kluang Mall dijangka akan memberi hasil kepada portfolio Sunway REIT dengan anggaran pendapatan harta bersih (NPI) awalan sebanyak tujuh peratus,” jelasnya. – UTUSAN