KUALA LUMPUR: Seven Bank, Ltd., cabang perniagaan perbankan kumpulan 7-Eleven dari Jepun menyasarkan memasang 100 mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bawah jenama Reachful di seluruh Malaysia tahun ini.
Presiden Seven Bank Ltd. , Masaaki Matsuhashi berkata, pemasangan pertama sebanyak 100 mesin akan dilakukan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Jelas beliau, pihaknya juga mempunyai hasrat untuk meluaskan lokasi pemasangan ke Sabah dan Sarawak pada 2026.
“Seven Bank menyasarkan kawasan pinggir bandar bagi membolehkan penduduk yang mempunyai akses terhad kepada fungsi perbankan meraih manfaat daripada pemasangan ini.
“Kami telah memperkenalkan jenama baharu, Reachful, untuk permulaan yang kukuh di Malaysia dan pertumbuhan berterusan perniagaan di luar negara.
“Melalui kerjasama dengan syarikat rakan kongsi itu untuk menyediakan perkhidmatan ATM di rangkaian kedai 7-Eleven di Malaysia, kami berharap dapat mempermudah kehidupan rakyat Malaysia dan menyumbang kepada pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan mesin ATM itu di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Abadi Tambah Mulia International Malaysia Sdn. Bhd., Jin Sudo berkata, Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang ketara dalam populasi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ketika masyarakat mengaplikasikan tanpa tunai, mata wang dalam edaran juga berada pada tahap yang tinggi. Kami mendapati pasaran ini sangat berpotensi untuk mengembangkan perniagaan ini,” katanya.
Jelas beliau, sejak pemasangan ATM pertama di luar negara di Amerika Syarikat (AS) pada 2017, Seven Bank juga telah mengembangkan perniagaannya di AS, Indonesia dan Filipina dengan lebih 21,000 pemasangan ATM menjelang tahun lalu.
“Syarikat ini berhasrat untuk memberikan nilai tambah yang unik dengan menggabungkan perkhidmatan runcit dan kewangan pada masa hadapan,” katanya.
Mesin Reachful bukan sahaja berfungsi sebagai ATM, tetapi juga mesin kitar semula tunai (CRM) yang menggabungkan fungsi ATM dan Mesin Deposit Tunai (CDM).
Ini membolehkan pelanggan melakukan pelbagai transaksi, misalnya, pertanyaan baki, pengeluaran, deposit, pembayaran pembiayaan, pembayaran bil dan pemindahan dana. – UTUSAN