PETALING JAYA: Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini dan bakal diniagakan sekitar RM4.37 ke RM4.40, menurut penganalisis.
Pada pukul 5 petang Selasa lalu, ringgit berada pada paras 4.3930/3980 berbanding dolar AS, berbanding 4.3750/3800 yang dicatatkan pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka agak positif iaitu pada kadar RM4.37 ke RM4.38 disebabkan oleh dasar Presiden AS, Donald Trump.
Jelasnya, selain itu, tindakan Moody’s mengekalkan penarafan Malaysia pada ‘A3’ dengan tinjauan ‘stabil’ mencerminkan keyakinan terhadap usaha kerajaan memperkukuh kedudukan fiskal negara.
“Terbaharu, langkah untuk mengenakan tarif dan sekatan ekonomi terhadap Columbia telah diputuskan Ahad lalu berikutan keengganan kerajaan Columbia utk menerima pendatang asing di AS yang terdiri daripada rakyat Columbia.
“Namun, keputusan ini diubah setelah kerajaan Columbia bersetuju untuk menerima rakyat mereka yang dihantar oleh tentera AS melalui pesawat.
“Justeru, Trump dilihat menggunakan instrumen tarif sebagai alat untuk membawa negara yang terlibat ke meja perundingan bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selain itu, jelas Mohd. Afzanizam, pasaran saham dijangka kekal dalam mod berhati-hati pada minggu ini.
Beliau berkata, hal ini kerana pasaran sedang memerhatikan apakah penilaian awal oleh pihak Rizab Persekutuan (AS) setelah Donald Trump diangkat menjadi Presiden AS yang ke-47 pada 20 Januari yang lalu.
“Pada minggu ini, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) oleh Rizab Persekutuan (Fed) akan menjadi tumpuan pasaran saham dan pasaran mata wang.
“Ia berikutan pelabur sedang memerhatikan apakah penilaian awal oleh pihak Fed AS setelah Donald Trump diangkat menjadi Presiden AS yang ke- 47 pada 20 Januari yang lalu.
“Sehubungan itu, pasaran saham dijangka akan kekal dalam mod berhati-hati,” katanya.
Menurut beliau, buat masa ini para pelabur asing masih dilihat mencatatkan jualan bersih yang berjumlah RM2.6 billion dari 2 Januari sehingga 24 Januari 2025 disebabkan oleh kebimbangan terhadap dasar Fed dan Trump yang saling berkaitan antara satu sama lain.
Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ringgit dijangka mengukuh pada kadar RM4.40.
“Hal ini kerana ringgit mengukuh disebabkan dasar baharu Trump,” katanya.
Selain itu, jelas beliau, Bursa Malaysia dijangka bergerak perlahan kerana faktor perayaan sambutan Tahun Baharu Cina menjadi tiada sentimen mengambil risiko berlebihan.
“Saya menjangkakan bursa berlegar pada kadar 1,570 minggu ini,” katanya. – UTUSAN