PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus berdepan ketidaktentuan dan akan didagangkan bercampur-campur bagi suku pertama tahun ini, didorong oleh keadaan pasaran di Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.
Pada Isnin, mata wang tempatan dibuka rendah pada 4.5010/5060 berbanding dolar AS, berbanding 4.4990/5030 ketika ditutup pada Jumaat lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, ringgit dijangka berada pada paras RM4.50 hingga RM4.60 berbanding dolar AS dalam jangka satu atau dua bulan akan datang.
Katanya, Rizab Persekutuan (Fed) AS kini sedang dalam proses membuat keputusan sama ada akan meneruskan lagi pemotongan kadar faedah atau pun kekal pada kadar semasa.
“Jika Fed menurunkan kadar faedah, maka ringgit akan lebih kukuh. Tapi mungkin mereka rasa penurunan sekarang sudah cukup untuk meningkatkan ekonomi AS.
“Pergerakan ringgit juga akan bergantung kepada apa yang akan berlaku dengan pasaran AS setelah Presiden, Donald Trump mengambil alih tidak lama lagi. Buat masa ini, ringgit akan berlaku penyusutan tetapi tidak akan sampai pada RM4.7 atau RM4.8,” katanya.
Tambahnya, faktor geopolitik iaitu kemungkinan peperangan yang lebih giat di Asia Barat dan Ukraine juga akan mendorong dagangan pertukaran mata wang, selain krisis di Laut China Selatan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi pula meramalkan ringgit akan mengukuh sekitar RM4.40 berbanding dolar AS dengan trend peningkatan beransur-ansur sepanjang 2025.
Katanya, walaupun terdapat unjuran yang mencadangkan peningkatan ringgit di bawah paras 4.00 pada 2025, namun jangkaan kadar pertukaran menjelang akhir 2025 masih dalam julat tertinggi 4.00 hingga yang terendah 4.40.
“Beberapa faktor utama dijangka mempengaruhi kadar pertukaran pada 2025 ialah perbezaan kadar faedah akibat pemotongan yang dijangkakan oleh Fed AS berbanding pengekalan kadar oleh Bank Negara Malaysia (BNM) boleh mengecilkan jurang menjadikan ringgit lebih menarik kepada pelabur.
“Selain itu asas ekonomi Malaysia yang mengukuh serta prospek pertumbuhan akan terus meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong ringgit ditambah dengan perkembangan ekonomi global termasuk pemulihan ekonomi China mampu meningkatkan permintaan untuk eksport Malaysia dan menyokong ringgit,” ujarnya.
Namun begitu, beliau berkata, sebarang ketegangan geopolitik dan penurunan dalam harga komoditi global boleh menjejaskan imbangan dagangan Malaysia dan menyusutkan kekuatan ringgit. – UTUSAN