PETALING JAYA: Rapid KL, jenama perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengendalikan hampir 1.5 juta penumpang pada ambang tahun baharu 2025.
Menurut kenyataannya, Ini merupakan jumlah penumpang paling tinggi dalam sejarah penubuhannya, dengan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding purata harian 2024.
Jelasnya, jumlah kehadiran pengunjung yang tinggi ke acara sambutan ambang tahun baharu yang berlangsung di sekitar pusat bandar seperti di KLCC, TRX, Lalaport, Bukit Bintang, Pasar Seni dan Sunway menyumbang kepada peningkatan ini.
Rapid KL berkata, berdasarkan rekod, jumlah pengguna rel dan bas termasuk perkhidmatan Demand Responsive-Transit (DRT) pada malam ambang tahun baharu masing-masing adalah sebanyak 1.27 juta dan 207,266 penumpang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, Rapid KL berasa amat bangga kerana dapat memenuhi keperluan pengguna pada malam tersebut, sekali gus meningkatkan keyakinan warga kota untuk memilih mod pengangkutan awam sebagai azam tahun 2025.
Katanya, kelancaran operasi ini ditunjangi hampir 3,000 kakitangan barisan hadapan Rapid KL yang berdedikasi tinggi menjalankan tugas sehingga tamat waktu operasi pada jam 3 pagi, 1 Januari 2025.
“Kejayaan mengendalikan operasi berskala besar ini membuktikan bahawa kakitangan Rapid KL memiliki kemahiran dan kecekapan yang tinggi serta pengalaman yang luas dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Koordinasi menyeluruh bersama pihak berkuasa seperti Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), penganjur acara dan agensi-agensi terlibat serta perancangan teliti oleh pihak Rapid KL turut menjadi faktor kejayaan operasi berskala besar ini.
“Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada semua pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang yang telah menyokong perkhidmatan Rapid KL sepanjang tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan mencatat rekod baharu ini menjadi satu semangat dan batu loncatan kepada Rapid KL untuk terus berusaha dan memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan efisien kepada semua pengguna pengangkutan awam.
Tambahnya, Rapid KL juga akan terus memperkasakan pengalaman pengguna pengangkutan awam, di samping memperkenalkan pelbagai inisiatif yang lebih baik untuk 2025 seperti perolehan bas elektrik dan van DRT baharu, pembukaan Laluan Shah Alam dan banyak lagi. – UTUSAN