Rakyat Malaysia akan pulang jika gaji dua pertiga dari Singapura

Rakyat Malaysia akan pulang jika gaji dua pertiga dari Singapura 

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura akan pulang bekerja di negara ini sekiranya syarikat di sini boleh membayar dua pertiga daripada gaji yang mereka peroleh ketika bekerja di Singapura, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, isu gaji yang rendah ditawarkan di Malaysia adalah faktor utama penghijrahan tenaga kerja tempatan ke luar negara.

“Jika kita mampu menawarkan gaji setara dua pertiga daripada gaji di Singapura, ramai rakyat Malaysia pasti memilih untuk pulang bekerja di sini. 

“Kita perlu mengubah fokus daripada bergantung kepada pekerja asing kepada memastikan jurutera muda tempatan diberi peluang dengan perumahan yang selesa dan pendapatan yang berpatutan,” katanya demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah anjuran Institut REHDA di sini, hari ini.

Chin Tong memaklumkan, Malaysia berpotensi menjadi negara perindustrian yang kukuh sekiranya lebih ramai tenaga muda diberi peluang untuk menyumbang kepada ekonomi tempatan, bukannya bergantung kepada pekerja asing semata-mata.

Jelasnya, kerajaan tidak mahu ekonomi yang bergantung kepada pekerja asing sementara golongan belia tempatan bekerja di Singapura, Australia atau Korea Selatan sebagai buruh murah. 

“Ketika kos pengambilan pekerja asing semakin meningkat, apa yang boleh kita tawarkan untuk memastikan bakat tempatan kekal di negara ini? Masalah di Malaysia bukanlah kekurangan bakat, tetapi masalah gaji. 

“Taman perindustrian boleh memainkan peranan membina untuk merapatkan jurang gaji antara Malaysia dan Singapura. Daripada membina Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) untuk pekerja asing, kita ingin melihat lebih banyak perumahan yang selesa untuk jurutera muda Malaysia. 

“Malaysia tidak akan menjadi negara teknologi yang hebat jika kita terus mengambil lebih ramai pekerja asing, tetapi Malaysia boleh menjadi negara perindustrian yang tidak boleh dipandang rendah jika kita mempunyai lebih ramai jurutera muda,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya