PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda mencatatkan pencapaian cemerlang apabila menjadi terminal kontena pertama di Malaysia yang berjaya melangkaui kendalian 12.2 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh setahun bagi 2024.
Pencapaian luar biasa itu mengatasi rekod terdahulu PTP yang mencatatkan kendalian 11.2 juta TEU pada 2021, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan sebagai hab pemindahan kontena yang terkemuka dan terbesar di Malaysia.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, tahun lalu merupakan tahun yang luar biasa bagi PTP, terutamanya dalam menyaksikan bagaimana kumpulan terus bangkit mendepani pelbagai cabaran dan menjadikannya sebagai peluang dalam mengorak pertumbuhan dan memacu inovasi.
“Prestasi yang membawa kepada kejayaan kami dalam mencatatkan rekod terbaharu ini merupakan refleksi terhadap peranan penting PTP dalam rantaian bekalan global.
“Pencapaian ini turut menjadi bukti dedikasi, komitmen dan kerja keras seluruh warga kerja PTP.
“Dengan mengendalikan jumlah kontena yang begitu besar dengan lancar, kami menyampaikan perkhidmatan secara konsisten kepada pelanggan dan rakan perniagaan.
“ Ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai salah satu terminal kontena paling cekap dan sibuk di dunia,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, PTP turut berbangga diatas keupayaan dalam mengekalkan kestabilan tahap produktiviti terminal, walaupun dalam keadaan yang mengalami peningkatan permintaan kendalian yang tinggi.
“Kestabilan ini adalah penting sebagai tambah nilai perkhidmatan PTP kepada para pelanggannya dan menjadi keutamaan bagi kami untuk terus membantu pelanggan dalam mencapai reliabiliti jadual.
“Ini terutamanya dalam persekitaran gangguan rantaian global masa kini, dan kami begitu berbangga kerana berjaya mengharungi cabaran ini tanpa sebarang kesesakan terminal,” katanya.
Pada 22 September 2024, PTP telah berjaya merekodkan kendalian sebanyak 14,036 pergerakan dermaga dalam satu syif 12 jam.
Pada Julai tahun yang sama, PTP turut berjaya merekodkan kendalian tertinggi dalam satu bulan dengan mengendalikan sebanyak 1,115,181 teu.
Senarai pencapaian ini merupakan sebahagian daripada prestasi mampan yang menyaksikan PTP mengendalikan lebih satu juta teu sebulan selama tujuh bulan berturut sejak bulan Mei 2024. – UTUSAN