Proton jual 152,352 unit kereta tahun lepas - Utusan Malaysia

Proton jual 152,352 unit kereta tahun lepas

PROTON S70
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) menamatkan 2024 dengan jualan sebanyak 152,352 unit (domestik dan eksport), sekali lagi menduduki tempat kedua dalam carta jualan.

Pembuat kereta nasional itu berkata, tahun berakhir dengan catatan yang tinggi selepas 14,601 unit dijual pada bulan Disember, peningkatan sebanyak 19.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Katanya, ini adalah angka jualan kedua tertinggi untuk tahun ini, susulan bulan yang memberangsangkan untuk eksport dengan 1,113 unit dihantar ke pasaran luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, 2024 merupakan tahun yang cemerlang bagi Proton dan syarikat berusaha dengan gigih untuk mengharungi persaingan pasaran yang sengit sambil mencapai pencapaian penting.

Ujarnya, dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) yang melepasi 800,000 unit untuk pertama kali, pihaknya berbangga dapat mengekalkan kedudukan sebagai jenama automotif kedua paling popular di Malaysia, meraih 18.7 peratus bahagian pasaran sambil menunaikan janji untuk melancarkan model kenderaan elektrik (EV) pertama pada 2024.

“Pada 2025, kami akan terus perkukuh kedudukan Proton Saga sebagai pilihan utama pelanggan, sementara kejayaan Proton X50 dan X70 membuktikan minat tinggi terhadap kenderaan utiliti sukan (SUV) premium kami.

“Semua ini adalah pencapaian positif untuk dibawa ke tahun baharu dan kami berharap dapat mengembangkan syarikat selaras dengan nilai teras jenama kami iaitu inovasi, kebolehpercayaan dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, selain daripada jualan kenderaan jenama Proton, Proton juga merupakan pengimport dan pengedar untuk model smart Automobile melalui anak syarikatnya Pro-Net dan sebanyak 622 unit smart #1 dan #3 telah dijual pada 2024, menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual sebanyak 152,974 unit.

Jelasnya, TIV untuk 2024 dianggarkan mencapai 813,521 unit, menandakan tahun kedua berturut-turut rekod jualan automotif untuk Malaysia dan ini adalah tahun keenam berturut-turut syarikat mencapai kedudukan kedua dalam carta, memberikannya asas kukuh untuk menghadapi persaingan pada 2025.

“Walaupun Proton Saga yang ikonik telah dijual selama empat dekad, ia menamatkan tahun sebagai model Proton terlaris pada 2024 dengan jualan sebanyak 72,769, peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding 2023.

“Saudara sedannya, S70 menamatkan tahun pertama penuh pengeluaran dan jualannya dengan jumlah keseluruhan 19,182 unit yang dihantar pada 2024, menjadikannya sedan segmen-C paling popular di negara ini,” ujarnya.

Proton berkata, jualan mencatatkan peningkatan sebanyak 27.2 peratus pada Disember berbanding bulan sebelumnya dengan 1,670 unit terjual. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya