PETALING JAYA: Prospek sektor kewangan dijangka kukuh pada 2025 dengan jumlah keseluruhan pinjaman diunjur meningkat antara lima hingga enam peratus, didorong antara lain oleh kenaikan gaji penjawat awam.
Penganalisis BIMB Securities, Afifah Abdul Malek berkata, jangkaan pertumbuhan pinjaman itu berlaku walaupun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sederhana pada 4.7 peratus.
“Pertumbuhan itu dijangka didorong oleh beberapa faktor seperti peningkatan permohonan pinjaman peribadi, gadai janji dan pinjaman kereta yang disokong oleh kenaikan gaji.
“Pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi didorong permintaan sektor swasta yang kukuh dan projek infrastruktur utama turut menjadi pemangkin.
“Kami menjangka keuntungan bank akan meningkat dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang stabil pada kadar tiga peratus, meningkatkan margin faedah bersih melalui pengurusan kos dana yang lebih baik,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurutnya, pertumbuhan pinjaman stabil pada November, meningkat 5.8 peratus dengan jumlah keseluruhan pinjaman kekal kukuh kepada RM2.23 trilion berbanding RM2.11 trilion pada November 2023.
“Ia didorong terutamanya oleh pinjaman isi rumah yang stabil seperti pinjaman kereta, gadai janji, dan pinjaman peribadi serta pinjaman perniagaan, di tengah-tengah peningkatan aktiviti ekonomi,” katanya.
Afifah berkata, indeks FBM Kuala Lumpur Finance (KLFIN) menamatkan 2024 dengan kukuh, mencapai paras tertinggi dalam dua dekad, apabila meningkat 18 peratus tahun ke tahun pada 19,170 mata, meskipun prestasi pada bulan terakhir tahun lalu agak mendatar.
“Indeks KLFIN mencapai paras tertinggi dalam dua dekad iaitu 19,931 mata pada Ogos lalu itu didorong oleh peningkatan minat pelabur asing terhadap pasaran domestik di tengah-tengah kebimbangan kemungkinan kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS).
“Selain itu, pertumbuhan pinjaman Malaysia yang kukuh, serta prospek pendapatan yang lebih baik untuk bank-bank Malaysia disokong oleh OPR yang stabil turut menyokong pertumbuhan itu,” katanya.
BNM baru-baru ini melaporkan bahawa kredit kepada sektor swasta bukan kewangan pada November 2024 meningkat sebanyak 5.2 peratus berbanding 5.1 peratus pada bulan sebelumnya, didorong terutamanya oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam bon korporat.
Bank pusat berkata, pertumbuhan dalam pinjaman perniagaan kekal pada 5.4 peratus.
“Pertumbuhan pinjaman bagi pinjaman berkaitan pelaburan terus menggalakkan, khususnya dalam kalangan peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada 9.4 peratus,” kata BNM. – UTUSAN