PETALING JAYA: Petronas Lubricants International melancarkan rangkaian minyak enjin PETRONAS Urania Kenderaan Komersial Ringan (LCV) untuk memenuhi keperluan unik pasaran LCV tempatan.
Minyak enjin PETRONAS Urania LCV yang baharu, diformulasikan dengan teknologi Strong Tech™, membolehkan kenderaan terus bergerak lebih lama tanpa memerlukan servis yang kerap.
Ini akan menghasilkan kos penyelenggaraan yang lebih rendah, selang penukaran minyak yang lebih panjang, serta prestasi unggul walaupun dalam keadaan pemanduan yang paling mencabar, termasuk operasi harian, pengembaraan lasak, dan pengurusan armada.
Pengarah Urusan Serantau Asia Petronas Lubricants International, Noorhana Abdul Habib berkata, semasa mereka terus berinovasi dan meneroka sempadan teknologi, kumpulan itu mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam pasaran pelincir LCV.
“Ini melalui penyelesaian canggih dalam minyak enjin Petronas Urania LCV yang berasal dari Petronas Fluid Technology Solutions yang telah memberi kekuatan kepada juara dalam Formula Satu.
“Minyak enjin kami telah diuji secara intensif dalam keadaan ekstrem, termasuk dalam cabaran ‘Rainforest Challenge’ (RFC) baru-baru ini, salah satu acara sukan permotoran off-road yang paling mencabar di dunia.
“Ketahanan seperti ini sangat bermanfaat untuk pasaran LCV domestik di mana pengangkutan barangan, operasi perniagaan, dan penyambungan komuniti adalah sangat penting,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing Malaysia,
Zameer Zahur Hussain berkata, komitmen kumpulan terhadap kecemerlangan tercermin dalam minyak enjin PETRONAS Urania LCV yang mengurangkan geseran enjin, mengawal deposit berbahaya dan meningkatkan kecekapan bahan api.
“Dengan menyediakan lapisan pelincir yang mengekalkan sifat optimum pada suhu tinggi, kami memastikan komponen enjin dilindungi dengan baik daripada kehausan, tidak kira tugas yang dilakukan,” katanya.
Rangkaian minyak enjin Petronas Urania LCV terdiri daripada Petronas Urania 5000 LCV LA 5W-30, Petronas Urania 3000 LCV LA 10W-40, dan Petronas Urania 3000 LCV 15W-40, yang memenuhi keperluan pelbagai pasaran LCV.
Seiring dengan perjalanan inovasi Petronas Lubricants International, rancangan sedang dijalankan untuk memperluas ketersediaan minyak enjin Petronas Urania LCV di seluruh rantau Asia-Pasifik. – UTUSAN