PETALING JAYA: Petron Malaysia melancatkan pembukaan stesen minyaknya yang ke-800 iaitu Petron Pedas-Linggi Layby Southbound yang terletak di lokasi strategik, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) seluas 4,047 kaki persegi.
Pembukaan itu tepat pada masanya bagi menampung peningkatan trafik sempena cuti persekolahan serta perayaan Tahun Baharu Cina pada akhir bulan ini.
Stesen itu memberikan pelanggan satu lagi lokasi perhentian yang memudahkan mereka untuk menyegarkan diri ketika mengisi minyak.
Pengurus Besar Petron Malaysia, Mohd. Nizam Mansor berkata, pembukaan stesen minyak itu menandakan pengakhiran yang hebat buat 2024 dan permulaan yang cemerlang untuk 2025.
“Ini membuktikan komitmen kami dalam menawarkan perkhidmatan yang berkualiti kepada lebih ramai rakyat Malaysia selain daripada memenuhi keperluan bahan api mereka.
“Tujuan kami ialah untuk mempelbagaikan tawaran runcit dan mengalu-alukan lebih ramai rakan strategik yang berminat untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang.
“Ini supaya stesen minyak Petron bukan sahaja dapat memenuhi keperluan asas pelanggan, tetapi juga sebagai tempat yang memberikan keselesaan dan kegembiraan kepada mereka yang singgah di stesen kami,” katanya.
Stesen minyak itu turut menyediakan pelbagai tawaran di dalam kedai Treats seperti Dunkin’, Costa Coffee dan Automated Teller Machine (ATM), selain menawarkan bahan api yang berkualiti seperti Blaze 100 Euro 4M, Blaze 97 Euro 4M, Blaze 95 Euro 4M, Turbo Diesel Euro 5 and Diesel Max Euro 5.
Ia juga merupakan stesen Petron pertama yang dilengkapi dengan kioks Quick Treats di kawasan pam stesen, membolehkan pelanggan membeli minuman dan makanan ringan dengan mudah dan cepat. – UTUSAN