PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Titijaya Land Berhad (Titijaya) melihat peningkatan permintaan untuk projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan hartanah mampu milik berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 pada tahun ini.
Permintaan itu adalah respon kepada kebimbangan mengenai inflasi dan kos sara hidup yang tinggi.
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata, memasuki 2025, pihaknya melihat permintaan yang semakin meningkat untuk projek TOD, terutamanya dalam kalangan generasi muda pekerja bandar.
“Projek TOD yang direka dengan baik menawarkan gabungan pengalaman kehidupan dan pekerjaan bandar yang popular di bandar utama seperti Jepun, Hong Kong dan Singapura.
“Kami juga melihat gelombang pembangunan infrastruktur pengangkutan awam seperti Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa 2, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT 3 Circle Line, LRT 3 dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura turut memberikan dorongan kepada segmen TOD,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, paling penting, konsep TOD juga seiring dengan komitmen syarikat terhadap elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam portfolio pembangunan.
“Dengan menumpukan pejabat, runcit dan kediaman dalam kawasan berhampiran stesen transit, projek TOD meningkatkan tarikan dan kecekapan pengangkutan awam, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan mempromosikan perjalanan yang lebih singkat.
“Ini seterusnya meningkatkan produktiviti dan mengurangkan jejak karbon,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2023 menyebabkan bayaran ansuran pinjaman perumahan bulanan lebih tinggi.
Jelasnya, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan OPR sebanyak lima kali, dengan jumlah keseluruhan 125 mata asas sejak Mei 2022.
“Pemegang pinjaman kadar terapung paling terkesan dengan kenaikan OPR ini. Dengan kebimbangan mengenai kenaikan inflasi, rasionalisasi subsidi dan kemungkinan kenaikan kadar faedah pada 2025, pembeli kini lebih berhati-hati dalam berbelanja.
“Hartanah dalam lingkungan RM500,000 hingga RM700,000 yang dahulunya menjadi pilihan kini beralih kepada unit berharga sekitar RM300,000,” katanya.
Tambahnya, dengan bank tanah strategik seluas 109 ekar di bandar utama Lembah Klang, Titijaya bersedia memenuhi permintaan ini dengan menawarkan pilihan perumahan mampu
milik.
Bagi tahun kewangan berakhir 2025 pula, Titijaya akan menyaksikan pelancaran beberapa projek baharu termasuk Fasa 2 pembangunan kediaman di Newton @ Jalan Ampang dan projek kediaman Seri Residency di Klang Utara.
“Prestasi stabil yang dicapai pada Tahun Kewangan Berakhir 2024 seiring dengan jangkaan kami. Namun, kami yakin pertumbuhan lebih kukuh dapat dicapai pada pada tahun kewangan berakhir 2025 menerusi fokus strategik kepada pembangunan TOD,” katanya. – UTUSAN