PETALING JAYA: Permintaan untuk pembungkusan yang lebih lestari semakin meningkat, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, kebimbangan terhadap persekitaran berikutan penggunaan plastik mendorong fokus untuk menguruskan sisa plastik daripada menghapuskannya sepenuhnya.
Katanya, ini memandangkan peranan penting plastik semasa pandemik Covid-19 yang memperkukuh kegunaan plastik dalam peralatan perlindungan peribadi (seperti pakaian keselamatan, pelindung muka atau jarum suntikan).
Tambahnya, plastik juga digunakan dalam pembungkusan dan penyimpanan barangan penting seperti ubat dan makanan dengan selamat serta mengelakkan pencemaran serta memudahkan penghantaran barangan dalam talian.
“Ini telah menyebabkan inisiatif ekonomi kitaran dan penyelesaian pembungkusan lestari semakin berkembang.
“Pelaburan dalam pembungkusan yang inovatif adalah penting untuk mengurangkan pengumpulan, penyortiran dan kitar semula sisa. Pertumbuhan syarikat Malaysia yang lebih pantas daripada purata, didorong oleh inovasi adalah contoh ketara,” katanya.
Secara keseluruhan, syarikat-syarikat pembungkusan berkembang dengan kadar pertumbuhan keuntungan kira-kira 7.0 peratus kadar pertumbuhan kompaun tahunan (CAGR) dalam dua tahun akan datang, melebihi jangkaan pertumbuhan industri.
“Pasaran pembungkusan global juga dijangka berkembang pada kadar 4.0 peratus CAGR untuk mencapai AS$1.4 trilion menjelang 2028, dengan plastik fleksibel dijangka berkembang lebih cepat pada kadar 5.0 peratus CAGR, mengatasi logam, kaca dan sedikit di hadapan pembungkusan berasaskan kertas.
“Permintaan terhadap pembungkusan fleksibel didorong terutamanya oleh ketahanan, fleksibiliti dan keberkesanannya dari segi kos.
“Direktorat Alam Sekitar Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) meramalkan bahawa penggunaan pembungkusan plastik akan meningkat tiga kali ganda menjelang 2060 berbanding tahap semasa,” katanya.-UTUSAN