Peralihan dasar akan menentukan hala tuju harga minyak sawit tahun ini - Utusan Malaysia

Peralihan dasar akan menentukan hala tuju harga minyak sawit tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hala tuju harga minyak sawit pada 2025 akan bergantung pada dinamik bekalan eksport Malaysia dan Indonesia, bersama-sama dengan peralihan dasar di Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

MPOC berkata, pengeluaran minyak sawit di Malaysia dijangka kekal stabil pada 19.5 juta tan pada 2025, manakala Indonesia diunjurkan pulih kira-kira dua juta tan, mencecah 48 juta tan.

“Walau bagaimanapun, pemulihan dalam pengeluaran Indonesia dijangka akan diserap sepenuhnya oleh peningkatan permintaan untuk pengadunan biodiesel B40.

“Oleh itu, bekalan eksport dari kedua-dua Malaysia dan Indonesia tidak mungkin menyaksikan pertumbuhan yang ketara,” katanya dalam kenyataan.

MPOC berkata, sebelum 2024, inventori minyak sawit Malaysia yang dibina sebahagian besarnya bergantung kepada import, mengimport kira-kira sejuta tan minyak sawit dari Indonesia setiap tahun.

“Bagaimanapun, volum import menjunam kepada 253,000 tan pada 2024, penurunan 72 peratus yang ditunjukkan dalam paras stok rendah semasa.

“Trend ini dijangka berterusan, dengan import pada 2025 diunjurkan rendah. Akibatnya, inventori minyak sawit Malaysia berkemungkinan kekal di bawah purata iaitu sekitar 1.7 juta tan pada suku pertama 2025, sebelum musim pengeluaran puncak,” ujarnya.

Memandang ke hadapan, MPOC berkata, eksport minyak sawit dijangka menurun secara bermusim pada bulan Januari dan Februari, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam pengeluaran.

Katanya, musim tengkujuh yang telah menyekat aktiviti penuaian, mula reda di Malaysia dan Indonesia pada minggu terakhir bulan Disember.

“Walau bagaimanapun, kesan tiga hari kelepasan am pada Januari dijangka menyebabkan hari penuaian yang lebih sedikit dan pengeluaran yang lebih rendah.

“Ini akan di kontra dengan peningkatan penggunaan minyak sawit pada bulan Januari dan Februari berikutan sambutan Tahun Baru Cina dan Ramadan,” tambahnya.

Majlis berkata, harga minyak sawit diunjur diniagakan antara RM4,250 hingga RM4,550 pada suku pertama 2025.

Menurutnya, permintaan untuk minyak sawit dijangka meningkat selepas Mac, didorong oleh pengetatan bekalan minyak bunga matahari hasil daripada eksport muatan hadapan yang ketara dari wilayah laut hitam.

“Faktor utama yang mempengaruhi harga minyak sawit dalam beberapa bulan akan datang ialah ketersediaan bekalan eksport dari Malaysia dan Indonesia serta dasar biofuel yang berkembang di bawah pentadbiran Donald Trump dan Prabowo,” katanya.

MPOC memberitahu, pengeluaran minyak sawit Malaysia pada Disember 2024 menurun sebanyak 8.3 peratus bulan ke bulan dan 4.2 peratus tahun ke tahun.

Jelasnya, eksport juga turun 9.9 peratus bulan ke bulan dan 1.4 peratus tahun ke tahun kepada 1.34 juta tan.

“Walaupun terdapat penurunan, volum eksport pada Disember masih konsisten dengan paras yang dilihat pada 2018, 2019 dan 2023, antara 1.3 hingga 1.4 juta tan.

“Selain itu, gabungan eksport minyak sawit dan penggunaan domestik di Malaysia mencecah 1.65 juta tan pada Disember, melepasi paras pengeluaran 1.48 juta tan sebanyak 164,000 tan. Akibatnya, inventori minyak sawit merosot dengan ketara, mengakhiri tahun ini pada 1.71 juta tan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya