Pelantikan Trump beri kesan besar kepada ekonomi dunia - Utusan Malaysia

Pelantikan Trump beri kesan besar kepada ekonomi dunia

DONALD Trump berucap pada Majlis Pelantikan Presiden Amerika Syarikat ke-47 di Capitol, Washington, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan drastik Donald Trump membatalkan keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh kepimpinan Joe Biden selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) semalam menunjukkan beliau akan melaksanakan dasar agresif seperti dijanjikannya sewaktu berkempen dahulu.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia pasti akan memberi kesan yang besar sekali kepada ekonomi dunia termasuk negara ini.

Jelasnya, menurut unjuran Bank Dunia, pertumbuhan perdagangan dunia yang dijangkakan 2.7 peratus akan merosot 0.3 peratus sekiranya AS melaksanakan kenaikan import tarif 10 peratus ke atas semua barangan yang diikuti oleh tindakan balas negara-negara tersebut kepada AS.

“Untuk tempoh jangka pendek ini, perdagangan luar Malaysia dijangka terjejas sekiranya AS meneruskan perubahan dasarnya, ini termasuk negara-negara BRICS yang mungkin menjadi fokus utamanya.

“Seharusnya, Malaysia lebih menumpukan kepada menambahkan jumlah perdagangan di Asia Timur, Asia Tengah dan negara-negara BRICS dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walau bagaimanapun, Aimi Zulhazmi berkata, kedudukan Malaysia masih lagi selamat terutama dari aspek pelaburan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) oleh syarikat multinasional AS seperti Microsoft, Amazon dan Google kerana masih meletakkan Malaysia sebagai negara Yang penting dalam industri ini.

“Begitu juga dengan pelbagai syarikat AS yang telah lama bertapak di Malaysia terutama dalam industri pembuatan semikonduktor,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Malaysia masih berada dalam kedudukan selamat susulan pelantikan Trump berikutan negara ini mengamalkan tidak memihak kepada mana-mana pihak dari segi ideologi politiknya.

Ujarnya, Trump dilihat tegas hanya dengan negara tertentu dalam blok ekonomi BRICS dan bukan dengan semua anggotanya.

Oleh itu, beliau berkata, tidak semestinya Malaysia akan menerima tekanan daripada Trump kerana Malaysia bukan negara utama di bawah pemerhatian Presiden AS itu sekarang.

“Kita masih lagi dalam kedudukan selamat kerana kita mengamalkan semangat ‘non-aligned’ dan tidak memihak kepada mana-mana pihak dari segi ideologi politiknya.

“Selain itu, kita anggota pelbagai perjanjian unilateral perdagangan antarabangsa yang membolehkan kita berdaya saing dan mampu meneroka pasaran yang lebih luas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya