Oriental Kopi sasar kumpul RM184 juta melalui IPO di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

Oriental Kopi sasar kumpul RM184 juta melalui IPO di Pasaran ACE

CHAN Jian Chern (tiga dari kanan) bersama barisan pengurusan Oriental Kopi dalam majlis pelancaran prospektus IPO syarikat tersebut semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Oriental Kopi Holdings Berhad (Oriental Kopi) menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM184 juta membabitkan terbitan saham biasa sebanyak 418.1 juta pada harga 44 sen sesaham melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasar ACE Bursa Malaysia Securities Berhad yang dijadualkan pada 23 Januari.

Berdasarkan harga IPO 44 sen sesaham dan jumlah modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 2.0 bilion saham biasa, kapitalisasi pasaran Oriental Kopi selepas penyenaraian akan berjumlah kira-kira RM880 juta.

Pengarah Urusan Oriental Kopi, Datuk Chan Jian Chern berkata, syarikat sedang membina fasiliti operasi seluas 108,448 kaki persegi di Puchong yang akan menempatkan pejabat utama, dapur pusat dan gudang baharu.

“Komponen utama strategi pertumbuhan kami adalah penubuhan pejabat utama baharu, dapur pusat dan gudang (fasiliti operasi baharu) dengan anggaran keluasan sekitar 108,448 kaki persegi di Puchong, Selangor.

“Fasiliti operasi baharu ini akan memusatkan fungsi pengurusan kami, mengoptimumkan operasi makanan dan minuman (F&B), dan meningkatkan kecekapan penyimpanan serta pengedaran.

“Pada masa yang sama, kami akan terus mengembangkan rangkaian kafe di Malaysia sambil secara strategik mengembangkan jenama makanan berbungkus kami.

“Selain itu, kami juga akan melabur dalam aktiviti pemasaran yang disasarkan untuk memperluaskan kehadiran Oriental Kopi di pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Hasil RM184 juta daripada IPO itu akan diperuntukkan untuk penubuhan pejabat utama baru, dapur pusat dan gudang sebanyak 29.2 peratus.

Selain itu, pengembangan rangkaian kafe di pelbagai negeri di Malaysia pula 19.8 peratus, pengembangan segmen makanan pek (2.7 peratus), aktiviti pemasaran di negara luar (3.0 peratus), modal kerja (41.2 peratus) dan kos penyenaraian (4.1 peratus).

Melihat ke hadapan, Oriental Kopi berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam industri perkhidmatan F&B.

“Ini didorong oleh pengembangan ekonomi Malaysia, peningkatan perbelanjaan isi rumah, inflasi yang sederhana, dan peningkatan ketibaan pelancong serta perbelanjaan.

“Hasil daripada IPO kami akan menjadi pemangkin untuk mengukuhkan kehadiran pasaran kami dan memacu peluasan masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya