PETALING JAYA: Minyak sawit mentah (MSM) dijangka didagangkan antara RM4,500 hingga RM5,000 bagi setiap tan seawal bulan Ramadan berikutan kitaran pengeluaran yang rendah pada suku pertama 2025, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berkata, fenomena La Nina juga berpotensi menimbulkan kebimbangan kerana hujan berlebihan boleh memberi gangguan kepada bekalan.
“Harga MSM mencatatkan paras tertinggi pada suku keempat 2024 kerana kekurangan bekalan di Indonesia kesan daripada mandat B40 yang meningkatkan kadar penggunaan domestik di negara itu.
“Kesan daripada situasi ini, kami menjangkakan MSM akan didagangkan antara RM4,500 hingga RM5,000 setiap tan pada suku pertama 2025,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bagaimanapun, Maybank IB menyatakan kebimbangan terhadap prospek harga MSM selepas suku pertama tahun ini, walaupun nisbah penggunaan bekalan minyak sayuran diramal semakin ketat pada 2025.
“Kebimbangan itu berpunca daripada kemampanan mandat B40 kerajaan Indonesia di tengah-tengah penyebaran penggunaan minyak sawit-minyak gas (POGO).
“Mengikut anggaran kami, dana MSM kerajaan Indonesia yang membantu membiayai penyebaran POGO akan kehabisan menjelang akhir suku pertama 2025 berdasarkan kadar penggunaan pada November 2024.
“Difahamkan, kerajaan Indonesia sedang berusaha untuk mengehadkan subsidi kepada sektor perkhidmatan awam hanya pada 2025 dan menaikkan levi eksport,” katanya.
Selepas suku pertama 2025, firma penyelidikan itu menjangkakan harga MSM berada dalam aliran rendah, didagangkan antara RM3,500 hingga RM4,500 setiap tan untuk baki tahun ini.
“Harga luar biasa MSM berbanding minyak sayuran utama lain akan berakhir apabila industri menikmati pemulihan keluaran bermusim pada separuh kedua 2025.
“Kami mengekalkan ramalan harga purata MSM 2025 hingga 2026 sebanyak RM4,000 bagi setiap tan,” katanya. – UTUSAN