Malaysia catat rekod perdagangan tertinggi, RM2.879 trilion pada 2024 - Utusan Malaysia

Malaysia catat rekod perdagangan tertinggi, RM2.879 trilion pada 2024

PERDAGANGAN Malaysia cecah lebih RM2 trilion buat tahun keempat berturut-turut.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia mencatatkan rekod tertinggi baharu mencecah RM2.879 trilion, naik 9.2 peratus tahun ke tahun, melepasi aras RM2 trilion selama empat tahun berturut-turut pada 2024.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, eksport juga melebihi jumlah RM1 trilion selama empat tahun berturut-turut, meningkat 5.7 peratus kepada RM1.508 trilion.

“Jumlah ini melepasi 87.2 peratus daripada sasaran eksport yang ditetapkan untuk 2025 di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Sementara itu, import meningkat 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.371 trilion, melepasi aras RM1 trilion untuk tahun ketiga berturut-turut.

“Prestasi kukuh ini telah menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM136.88 bilion, yang ke-27 tahun berturut-turut sejak 1998,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, eksport ke rakan dagang utama, iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan meningkat, dengan eksport ke AS dan Taiwan mencapai nilai tertinggi setakat ini.

“Taiwan secara rasminya menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia, mencerminkan pengukuhan dalam hubungan dua hala dan peluang perdagangan yang semakin berkembang.

“Sementara itu, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) telah memainkan peranan yang penting dalam memberi akses yang lebih luas kepada perniagaan tempatan ke pasaran antarabangsa.

“Eksport ke pasaran FTA berkembang tahun ini, pulih daripada penyusutan yang dicatatkan pada tahun 2023,” katanya.

Matrade berkata, Kanada merupakan salah satu negara yang mencatatkan pertumbuhan eksport, didorong oleh kenaikan permintaan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E).

“Selain itu, eksport ke Turkiye dan Mexico melonjak ke aras tertinggi yang baharu, masing-masing dipacu oleh peningkatan eksport barangan besi dan keluli serta kimia dan bahan kimia.

“Strategi diversifikasi yang menyasarkan pasaran-pasaran baharu juga memainkan peranan yang sama penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan eksport.

“Ini terutamanya ke negara-negara seperti Bangladesh, Costa Rica, Mesir, Nigeria, Angola, Ethiopia, Algeria, Togo, Libya dan khususnya Kenya, Oman serta Namibia yang mencatatkan nilai tertinggi baharu,” katanya.

Dari segi barangan pula, pertumbuhan eksport pada 2024 telah disokong oleh prestasi mampan barangan perkilangan dan keluaran pertanian.

“Pertumbuhan ini dipacu oleh peningkatan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan makanan diproses serta barangan optik dan saintifik yang mencatatkan nilai tertinggi baharu.

“Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, barangan perkilangan logam dan keluaran getah turut menyumbang kepada pertumbuhan ini.

“Eksport barangan E&E serta jentera, kelengkapan dan peralatan masing-masing telah mencatatkan peningkatan melebihi RM10 bilion,” katanya.

Meskipun berhadapan dengan keadaan ekonomi global yang mencabar, Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) bersama agensi promosi perdagangan negara, Matrade terus komited memperkukuhkan perdagangan antarabangsa sebagai asas mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

la akan disokong melalui inisiatif strategik yang digariskan dalam RMK12, Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Dengan memanfaatkan rangka kerja ini, MITI dan agensinya akan menyokong kerajaan untuk membantu negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang berterusan serta berdaya tahan pada tahun-tahun akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya