Kia Sorento 2.2 CRDi AWD - Mengalahkan produk Jepun! - Utusan Malaysia

Kia Sorento 2.2 CRDi AWD – Mengalahkan produk Jepun!

Kia Sorento 2.2 CRDi AWD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMUM mengetahui bahawa produk Korea memang sudah jauh ke depan, tetapi untuk mengatakan ia mendahului jenama Jepun ialah satu kenyataan yang berani. Contohnya, Kia Sorento varian terkini.

Penulis boleh katakan dengan yakin, ia cukup untuk membuktikan Korea lebih ke depan dari Jepun untuk kategori kenderaan utiliti sukan (SUV).

Dari segi teknikal, Sorento ini ialah sebuah SUV diesel dengan enam tempat duduk dengan harga RM253,888.

Bahagian luaran Sorento ini lebih ke arah sebuah kenderaan yang moden dan tidak nampak ciri-ciri Korea. Berbanding dengan sepupunya, Hyundai Santa Fe, Sorento nampak jauh lebih sesuai dengan harga yang dipinta.

Bahagian belakang menampilkan dua baris lampu menegak yang kelihatan seperti sebuah kenderaan dari Amerika Syarikat. Ia nampak ‘jantan,’ tetapi kekal elegan.

Mungkin pelaburan Kia untuk menggajikan pereka bentuk berprofil tinggi seperti Peter Schreyer (dari VW dan Audi) serta Karim Habib (dari BMW) terbukti mendatangkan hasil.

Kehebatan reka bentuk Sorento tidak terhenti di bahagian luar. Ia diteruskan ke dalam ruang kabin di mana kematangan Kia jelas kelihatan.

Papan pemuka yang lebih tampan, didalangi oleh dua skrin besar sukar untuk tidak memukau mata sesiapa yang melihat. Mereka yang biasa dengan produk lama Kia seperti Sephia, Spectra dan Sorento generasi pertama pastinya akan menggosok mata beberapa kali kerana tidak percaya.

Enjin Smartstream ini sama dengan unit yang digunakan di dalam Kia Carnival sekarang, cuma talaan yang berbeza, sesuai untuk fungsi sebuah SUV.

Dengan sesaran 2,151cc enjin diesel 4-silinder turbo ini menghasilkan 199hp dan 440Nm yang kemudian disalurkan ke empat-empat roda melalui transmisi All-Wheel Drive (AWD) 8-kelajuan DCT.

Enjin diesel moden sudah tidak seperti dahulu, ia lebih lancar, senyap dan jauh lebih berkuasa serta masih menjimatkan.

Kenderaan sebesar ini memang lebih sesuai dengan enjin diesel dan penulis mampu mendapat bacaan antara 7.5 dan 8.0 liter untuk setiap 100 kilometer (km) bagi kombinasi perjalanan di dalam bandar dan di atas lebuh raya.

Kia mengesyorkan hanya diesel B7 digunakan untuk enjin diesel modern ini tetapi setangki bahan api (67 liter) mampu memberikan perjalanan lebih dari 600km dengan mudah.

Pemanduan juga memuaskan hati – ia lembut tetapi tidak bergoyang bila dibawa laju, ia rasa tegap bila mengambil selekoh dan suasana dalam kabin kekal senyap.

Jika kita bandingkan Sorento ini dengan tawaran-tawaran Jepun yang ada, anda akan faham dan terpaksa bersetuju dengan tajuk artikel ini.

Berbanding dengan Honda CR-V, Sorento ini jauh lebih panjang, lebih lebar dan tinggi. Mungkin kerana itu harga Honda itu lebih rendah kerana CR-V berada dalam segmen C yang lebih kecil.

Toyota sebenarnya mempunyai dua SUV yang mampu bersaing dengan Sorento. Dari segi harga, ia lebih hampir kepada Fortuner, di mana varian tertinggi Toyota itu berharga RM241,880. Ya, Fortuner sekarang bukan seperti dahulu.

Dari segi saiz, Fortuner lebih besar dari CR-V tetapi masih lebih kecil dari Sorento. Namun begitu, tidak begitu adil untuk dibandingkan sebenarnya kerana Fortuner ialah sebuah SUV yang menggunakan kerangka trak pikap.

Ia mungkin lasak tetapi dari segi keluasan kabin dan prestasi, ia pada hakikatnya ialah sebuah trak pikap mahal dengan tujuh tempat duduk yang sempit.

Dan akhirnya kita ada Toyota Harrier, SUV lima tempat duduk mewah dengan harga RM274,000. Sayangnya, kemewahan itu berakhir di bahagian luar sahaja kerana kualiti pemanduan serta prestasi enjin cukup menyedihkan.

Keputusan Toyota untuk menghentikan enjin 2.0L turbo dan menggantikan dengan enjin Dynamic Forces tanpa turbo ialah satu keputusan yang salah kerana menjadikan Harrier ini terasa lebih lembab.

Ini ditambah dengan sistem gantungan yang gagal untuk memberikan pemanduan yang lebih selesa dari Harrier dari generasi sebelumnya.

Bagaimana pula dengan Mazda CX-8?

Sorento ini kekal lebih lebar dan lebih tinggi, cuma Mazda itu mempunyai badan yang lebih panjang. Sebenarnya, Mazda CX-8 mempunyai saiz yang pelik, hasil dari proses memanjangkan casis CX-5. SUV enam atau tujuh tempat duduk Mazda itu panjang, tetapi tidak lebar.

Mungkin kerana itu ia cuma dijual di beberapa pasaran sahaja dan pasaran utamanya ialah China.

Kia Sorento dan Kia Carnival membuktikan jenama ini sudah mencapai status di mana ia tidak boleh lagi dianggap produk yang remeh. Harga kedua produk Kia itu bermula dari paras RM200,000 tetapi ia memang terasa seperti sebuah kenderaan yang mahal.

Sukar untuk ditelan tetapi bila kita bandingkan dengan jenama kita sendiri, Proton, kita akan mula terfikir di manakah silap kita kerana produk Proton suatu ketika dahulu, memang lebih baik dari Kia.

Mungkin kita ini lebih selesa sebagai juara kampung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya