Johor pesaing ekonomi Lembah Klang 5 hingga 10 tahun akan datang - Utusan Malaysia

Johor pesaing ekonomi Lembah Klang 5 hingga 10 tahun akan datang

Rafizi Ramli ketika bercakap pada sesi Forum Ekonomi Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Zon EKonomi Khas Johor- Singapura (JS-SEZ) dijangka meletakkan Johor sebagai pesaing ekonomi Lembah Klang dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, berdasarkan penilaian awal, zon ekonomi khas yang baru dimeterai itu bakal menyumbang anggaran AS$28 juta (RM125.9 juta) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setahun.

“JS-SEZ membuktikan Malaysia-Singapura wajar bekerjasama bagi membuka peluang kepada pelabur global memanfaat peluang sejajar usaha kita untuk menjadikan Asean sebagai ekonomi keempat terbesar dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

“Zon ekonomi khas ini menjadi sesuatu yang istimewa membabitkan dua negara yang sangat jarang berlaku kerana kebanyakannya diwujudkan di bawah satu kawasan.

“Walaupun ia sesuatu yang kompleks, namun kita perlu mengharmonikan dasar ekonomi antara kedua-dua negara. 

“Jika berkesan, ia bakal menjadi pemacu baharu khususnya Johor dalam tempoh 10 tahun akan datang, di mana negeri-negeri lain di Malaysia boleh memanfaatkan pertumbuhan daripada JS-SEZ,” katanya selepas menjadi ahli panel Fireside Chat bertajuk ‘From Made in Malaysia to Made by Malaysia’ bersempena Forum Ekonomi Malaysia (FEM) di sini semalam.

Pada 7 Januari lalu, JS-SEZ bermula secara rasmi, memiliki sasaran menarik 100 projek dalam tempoh 10 tahun, merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Pengerang Integrated Petroleum Complex dan Desaru dengan keluasan tanah 357,128 hektar.

Rafizi berkata, menerusi Belanjawan 2025, kerajaan telah memperuntukkan RM5 bilion untuk dana infrastruktur di JS-SEZ di mana mekanisme dana berkenaan bergantung kepada kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Ujarnya, keperluan penambahan dana akan ditentukan kemudian berdasarkan minat yang ditonjolkan ke atas JS-SEZ.

“Pembangunan JS-SEZ adalah bersifat usaha sama swasta dengan suntikan pelaburan adalah berperingkat. Kerajaan akan bekerjasama rapat dengan pelabur mengenai keperluan pelaburan sebelum infrastruktur dibangunkan mengikut keperluan,” katanya.

Mengulas mengenai pusat data, Rafizi menjelaskan, Malaysia dijangka menjadi hab di rantau ini dengan Johor turut menjadi lokasi unit pertumbuhan perniagaan baharu ini.

“Bayangkan 10 hingga 15 tahun akan datang akan ada banyak pusat data dan menjadi trend pada masa depan. Justeru, Malaysia perlu memperkasakan sektor tenaga kita untuk menyokong pertumbuhan ini,” katanya.

Dalam sesi sama, Rafizi mendedahkan, Malaysia bercadang menghasilkan cip dan unit pemprosesan grafik (GPU) secara tempatan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Katanya, sasaran itu dijangka membolehkan Malaysia mewujudkan sektor ekonomi bernilai tinggi yang tidak hanya dapat memenuhi keperluan pasaran tempatan, tetapi ke peringkat global.

“Jika kita merealisasikan potensi dalam memajukan industri semikonduktor ke tahap hiliran bukannya hanya memberi tumpuan kepada aspek ‘back-end’. Justeru, kerajaan berharap dapat mula menghasilkan cip dan GPU buatan Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya