Indeks Harga Pengeluar naik 0.5% pada Disember 2024

Indeks Harga Pengeluar naik 0.5% pada Disember 2024

PEKERJA industri pembuatan sedang melakukan kerja-kerja pemasangan mesin.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat perlahan 0.5 peratus pada Disember 2024, menamatkan penurunan tiga bulan berturut-turut sejak September 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Peningkatan selepas penurunan 0.4 peratus pada bulan sebelumnya ini didorong oleh prestasi berbeza dalam pelbagai sektor utama, dengan kenaikan ketara dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan. 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan peningkatan ketara 23.8 peratus pada Disember, menunjukkan momentum yang lebih kukuh berbanding 21.8 peratus pada November, didorong oleh kenaikan dalam indeks penanaman tanaman kekal (41.9 peratus). 

Katanya, sektor perlombongan merosot 7.0 peratus, penurunan lebih kecil berbanding negatif 8.3 peratus pada bulan sebelumnya disebabkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah yang turun 9.7 peratus. 

“Sektor pembuatan mencatat penurunan perlahan 1.0 peratus (November 2024: -1.8 peratus), dengan subsektor utama iaitu pembuatan kok dan produk petroleum bertapis jatuh 15.5 peratus dan pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal turun 1.5 peratus. 

“Sebaliknya, sektor bekalan elektrik dan gas merekodkan dengan peningkatan 0.9 peratus, manakala sektor bekalan air meneruskan trend peningkatan sebanyak 6.7 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan terus meningkat 0.8 peratus pada Disember berbanding 1.4 peratus pada November. 

Menurutnya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 1.6 peratus (November 2024: 8.5 peratus), disokong oleh penanaman tanaman kekal (2.1 peratus). 

“Sektor pembuatan menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 0.8 peratus (November 2024: 0.3%), didorong oleh kenaikan dalam Pembuatan produk makanan (3.2 peratus) dan Pembuatan produk komputer, elektronik & optikal (0.7 peratus). 

“Sebaliknya, sektor perlombongan mencatat penurunan kecil 0.2 peratus (November 2024: 5.7 peratus), disebabkan oleh penurunan 2.4 peratus dalam indeks pengekstrakan gas asli. 

“Bagi sektor utiliti, bekalan elektrik dan gas menurun 0.2 peratus, manakala bekalan air turun 0.3 peratus,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya mencatat peningkatan tahun ke tahun sebanyak 1.9 peratus, disokong oleh kenaikan indeks bahan bukan makanan sebanyak 2.4 peratus. 

Tambahnya, indeks barang siap meningkat 0.5 peratus, dengan indeks kelengkapan modal meningkat 1.2 peratus, manakalan indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen naik perlahan 0.1 peratus, didorong oleh indeks bahan dan komponen untuk pembuatan (3.3 peratus).

Beliau berkata, IHPR Pengeluaran Tempatan terus menurun 0.8 peratus pada suku keempat tahun 2024, berbanding penurunan 0.2 peratus pada suku ketiga tahun 2024, disebabkan oleh sektor perlombongan (-11.0 peratus) dan pembuatan (-1.8 peratus). 

“Pada tahun 2024, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 0.3 peratus, selepas mencatatkan negatif 1.9 peratus pada tahun 2023. 

“Peningkatan ini didorong oleh kenaikan indeks positif bagi sektor pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 7.9 peratus, berbanding penurunan dua digit 13.8 peratus pada tahun sebelumnya,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya