Hasil eksport minyak sawit dijangka melonjak kepada RM120 bilion - Utusan Malaysia

Hasil eksport minyak sawit dijangka melonjak kepada RM120 bilion

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin (tengah), melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian Seminar Kajian dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit 2025, di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasil eksport minyak sawit Malaysia dijangka meningkat 9.8 peratus kepada RM120 bilion pada 2025 berbanding RM109.33 bilion yang direkodkan tahun lalu, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ia berikutan peningkatan eksport komoditi itu sebanyak 2.4 peratus kepada 17.3 juta tan tahun ini, berbanding 16.9 juta tan pada 2024.

“Meneliti keadaan di Indonesia dan permintaan minyak sawit yang stabil, kita berharap eksport minyak sawit pada tahun ini akan meningkat,” katanya dalam pembentangan di Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka turut meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 19.5 juta tan pada 2025 daripada 16.90 juta tan pada tahun lalu

Selain itu, keseluruhan stok minyak sawit susut sebanyak 6.4 peratus kepada 1.6 juta tan daripada 1.7 juta tan pada 2024.

Pada Januari hingga Disember 2024, harga CPO meningkat sebanyak 9.7 peratus kepada RM4,179.50 per tan metrik berbanding RM3,809.50 per tan metrik pada tempoh yang sama pada 2023. 

Harga purata CPO bulanan dan harian mencatatkan kenaikan pada RM5,119.50 per tan metrik pada Disember 2024 dan RM5,333.50 per tan metrik pada 6 Disember 2024. 

Jelasnya, ini telah meningkatkan hasil eksport produk minyak sawit keseluruhan sebanyak 15.1 peratus kepada RM109.3 bilion pada 2024 (dari Januari hingga Disember) berbanding RM 94.9 bilion pada 2023 pada tempoh yang sama. 

“Jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit dari Januari hingga Disember 2024 telah meningkat kepada 26.66 juta tan berbanding 24.49 juta tan pada tahun 2023 dalam tempoh yang sama. 

“Ini mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus dan perbezaan sebanyak 2.17 juta tan antara kedua-dua tahun tersebut. 

“Antara enam pasaran eksport utama bagi produk minyak sawit Malaysia adalah India, China, Kesatuan Eropah, Kenya, Turki dan Filipina dengan jumlah nilai eksport sebanyak 8.57 juta tan atau 50.7 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia dari Januari hingga Disember 2024,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, harga purata Minyak Sawit Mentah (CPO) dijangka tinggi, pada paras RM4,000 ke RM4,300 per tan pada tahun ini, didorong oleh bekalan yang lebih terhad di peringkat global.

“Antara faktor peningkatan termasuk pelaksanaan mandat biodiesel B40 di Indonesia yang dijangka mengurangkan bekalan minyak sawit global bagi tujuan pasaran eksport.

“Permintaan bagi biodiesel di Amerika Syarikat dijangka meningkat dan menyebabkan bekalan minyak sayuran global lebih terhad,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya