Harga besi, keluli dan logam catat penurunan pada Disember 2024 - Utusan Malaysia

Harga besi, keluli dan logam catat penurunan pada Disember 2024

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks harga seunit besi merekodkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 4.6 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Disember 2024 berbanding bulan lepas, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan besi telah dicatatkan di Perak (-4.6 peratus), diikuti dengan Tawau (-2.3 peratus) dan Sandakan (-2.0 peratus).

“Indeks harga seunit keratan keluli dan logam turut merekodkan penurunan antara negatif 0.3 peratus hingga negatif 0.8 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Disember 2024 berbanding bulan lepas.

“Selain daripada itu, indeks harga seunit simen pula kekal tidak berubah bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Disember 2024.

“Perbandingan tahunan untuk tempoh Disember 2023 dan Disember 2024 menunjukkan indeks harga seunit simen merekodkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 2.8 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Peningkatan tertinggi indeks ini dicatatkan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (2.8 peratus), diikuti dengan Pahang (2.7 peratus), Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan Perak, masing-masing (1.5 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Namun, beliau berkata, perbandingan tahunan indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara negatif 1.7 peratus hingga negatif 9.7 peratus pada Disember 2024 berbanding bulan yang sama tahun lalu bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Penurunan tertinggi bagi indeks seunit besi telah direkodkan di Perak (-9.7 peratus).

“Selain itu, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars pula telah mencatatkan penurunan (-1.1 peratus) dengan purata harga RM3,588.30 bagi setiap tan metrik berbanding bulan November 2024 sebanyak RM3,628.90 per tan metrik.

“Purata harga bahan ini juga telah mencatatkan penurunan sejak Julai 2024. Selain daripada itu, purata harga simen (Ordinary Portland) pada Disember 2024 kekal tidak berubah berbanding bulan lepas, dengan purata harga RM23.25 per 50 kg sekarung,” katanya.

Jelasnya, IKB termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan penurunan iaitu antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 1.9 peratus pada bulan Disember 2024 berbanding bulan sebelumnya.

“Penurunan IKB termasuk bar keluli telah dicatatkan bagi hampir semua kategori bangunan kecuali Cerucuk Kayu di kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Perak, Johor dan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Namun, IKB termasuk bar keluli kekal tidak berubah bagi hampir semua kategori bangunan kekal di kawasan Terengganu dan Kelantan.

“Selain itu, IKB termasuk bar keluli di Sabah juga turut menunjukkan penurunan kecil iaitu antara negatif 0.2 peratus hingga negatif 0.8 peratus bagi hampir semua kategori bangunan kecuali Bangunan Kayu dan Cerucuk Kayu di Kota Kinabalu dan Sandakan.

“IKB di Tawau pula merekodkan penurunan antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 0.9 peratus bagi hampir semua kategori bangunan kecuali peningkatan dalam indeks bagi kategori Bangunan Konkrit Tetulang Satu Tingkat (0.1 peratus), Kerangka Besi Satu tingkat (Bangunan) (0.2 peratus) dan Bangunan Kayu (0.5 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya