FMOS perkukuh penyelesaian pertikaian kewangan, pelaburan - Utusan Malaysia

FMOS perkukuh penyelesaian pertikaian kewangan, pelaburan

Dari kiri, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Mohammad Faiz Azmi, Pengerusi Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS), Tan Sri Dr Foong Cheng Yuen dan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Jessica Chew Cheng Lian melancarkan Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS) di Sasana Kijang, Bank Negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) memperkenalkan Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS), sebuah platform penyelesaian pertikaian yang menyeluruh untuk pengguna dan pelabur kewangan di Malaysia.

FMOS menggabungkan fungsi Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OFS) dan Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (SIDREC), menyediakan perkhidmatan pengantaraan dan adjudikasi secara bebas dan adil sebagai alternatif kepada sistem kehakiman.

Pengawasan secara bersama oleh BNM dan SC itu akan membantu FMOS beroperasi dengan lebih berkesan menerusi penyelarasan piawaian pengawalseliaan dan pada masa yang sama melindungi kepentingan pengguna, pelabur dan industri kewangan.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, penubuhan FMOS mencerminkan komitmen berterusan BNM dan SC untuk mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan penyelesaian pertikaian.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh keyakinan pengguna tetapi juga memantapkan integriti dan akauntabiliti penyedia perkhidmatan kewangan dan pasaran modal, yang akhirnya menyumbang kepada ekosistem kewangan yang lebih kukuh dan diyakini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, FMOS memudahkan proses penyelesaian bagi pengguna dan pelabur kewangan dengan menyediakan platform sehenti yang diyakini.

“Langkah ini amat penting terutamanya ketika pasaran kewangan dan modal semakin sukar dibezakan.

“FMOS turut menggalakkan piawaian dan keputusan yang konsisten, lantas mengukuhkan lagi keyakinan terhadap sistem ini,” katanya.

Susulan trend nilai purata transaksi kewangan oleh pengguna yang meningkat, BNM telah memperkemas had monetari pertikaian yang layak melibatkan akaun atau transaksi kewangan kepada RM250,000.

Had ini memperluas skop perlindungan dan memastikan lebih banyak pengguna dapat mengakses perkhidmatan penyelesaian pertikaian secara percuma.

Langkah itu selaras dengan had monetari yang layak dan sedia ada bagi pertikaian yang melibatkan akaun dan transaksi pelaburan yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan pasaran modal bawah pengawalseliaan SC.

Perubahan itu juga selaras dengan komitmen FMOS untuk membuat penyesuaian dengan landskap kewangan yang berkembang, iaitu nilai transaksi atau nilai akaun mungkin lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya