Fad’l Mohamed dilantik CEO baharu Bursa Malaysia - Utusan Malaysia

Fad’l Mohamed dilantik CEO baharu Bursa Malaysia

FAD'L MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mengumumkan pelantikan Datuk Fad’l Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia baharu, menggantikan Datuk Muhamad Umar Swift, berkuat kuasa 1 Mac 2025.

Keputusan itu dibuat oleh lembaga pengarahnya, selaras dengan pelan penggantian kepimpinan bursa dan dengan persaraan akan datang Muhamad Umar yang telah menjadi CEO Bursa Malaysia sejak Februari 2019.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga telah memberikan persetujuannya untuk pelantikan CEO baharu mengikut Seksyen 10 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pihak lembaga pengarah mengalu-alukan Fad’l sebagai CEO seterusnya untuk membawa Bursa Malaysia ke hadapan, di bina atas kemajuan kukuh yang diletakkan oleh Muhamad Umar.

“Pemahaman beliau tentang pasaran modal dan perbankan pelaburan menjadikan beliau berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menerajui Bursa Malaysia pada masa hadapan.

“Kami yakin kepakaran beliau akan memacu pertumbuhan dan kejayaan yang berterusan untuk bursa dan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Fad’l, 57, mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perundangan, pasaran modal dan perbankan pelaburan serta kini merupakan Pengarah Urusan, Perbankan Borong Kumpulan RHB Bank Berhad dan sebelum ini merupakan CEO Maybank Investment Bank.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai peguam di Tetuan Rashid & Lee pada 1991 sebelum menyertai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 1993 dan kemudian berpindah ke Dresdner Kleinwort Benson, sebuah firma perbankan pelaburan.

Pada 2004, beliau mengasaskan Maestro Capital Sdn. Bhd., penasihat kewangan korporat berlesen yang memberi nasihat mengenai penggabungan dan pengambilalihan, penjanaan modal dan tawaran awam permulaan (IPO) sehingga 2015 apabila beliau menyertai Maybank Investment Bank.

Fad’l memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Imperial College London, United Kingdom (UK) dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari University of London, UK.

Selain itu, beliau memiliki Diploma Perakaunan & Kewangan Bertauliah daripada The Chartered Association of Certified Accountants dan merupakan Fellow Chartered Banker dengan Asian Institute of Chartered Bankers.

Beliau juga merupakan Pakar Bertauliah dalam Kewangan Mampan yang dianugerahkan oleh Sekolah Kewangan & Pengurusan Frankfurt.

Abdul Wahid merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Muhamad Umar atas sumbangan dan kepimpinan cemerlang beliau yang ditandai dengan inovasi, integriti serta komitmen yang mendalam dan pendekatan kolaboratif untuk memenuhi keperluan pelbagai pihak berkepentingan kami, dan negara.

“Beliau akan diingati kerana banyak sumbangan dan pencapaian penting sepanjang tempoh perkhidmatannya, termasuk antara lain, menetapkan visi dan pelan hala tuju untuk Bursa Malaysia menjadi bursa pelbagai aset.

“Selain itu, beliau memastikan pasaran terbuka dengan dagangan beroperasi sepenuhnya sepanjang pandemik Covid-19 dan memacu bursa ke era baharu kemampanan, mengutamakan pelanggan dan pendigitalan,” ujarnya.

Tambahnya, di bawah kepemimpinan Muhamad Umar, Bursa Malaysia mencapai beberapa rekod pasaran, termasuk melebihi RM2 trilion dalam permodalan pasaran ekuiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya