EVM, Solarvest, PECC2 percepat penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Vietnam - Utusan Malaysia

EVM, Solarvest, PECC2 percepat penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saigon Jim Brother’s Corporation (EVM), Solarvest (Vietnam) Company Limited (Solarvest) dan Power Engineering Consulting Joint Stock Company 2 (PECC2) meterai Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan mempercepat penggunaan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui di Vietnam.

Kerjasama itu memanfaatkan Mekanisme Perjanjian Pembelian Kuasa Langsung (DPPA) menerusi Grid Nasional untuk membekalkan sejumlah besar tenaga hijau oleh Solarvest dan PECC2 kepada operasi EVM di Vietnam.

Ini sekali gus menyokong projek tenaga lestari dan mempercepat peralihan tenaga bersih di Vietnam.

EVM, Solarvest dan PECC2 mengiktiraf bahawa Mekanisme DPPA itu menawarkan peluang unik untuk mengatasi halangan kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui, termasuk cabaran dari segi akses, peraturan, kewangan dan teknikal.

Dengan menggabungkan kepakaran mereka, pihak-pihak ini bertujuan untuk mempermudah penerapan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan mempercepatkan penyertaan dalam Mekanisme DPPA bagi projek tenaga solar.

Naib Presiden Global Jualan, Aset & Pemasaran Solarvest, Jack Tan Qi Jie berkata, kerjasama itu bukan sekadar kolaborasi, namun ia adalah penjajaran strategik kepakaran dan nilai bersama.

“Bersama-sama, kami menangani salah satu cabaran paling kritikal yang dihadapi oleh perniagaan hari ini, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dengan cara yang berdaya ekonomi dan cekap operasi.

“Solarvest membawa pengalaman bertahun-tahun dalam pembangunan tenaga bersih, dengan lebih daripada 1,300MW projek tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia-Pasifik.

“Dengan menggabungkan model kewangan kami yang terbukti bersama kepakaran teknikal PECC2 dan inovasi EVM, kami mencipta penyelesaian khusus yang membolehkan perniagaan mencapai matlamat kelestarian mereka tanpa menjejaskan keuntungan.

“Kami melihat DPPA menerusi Grid Nasional sebagai pencapaian penting dalam peralihan tenaga Vietnam dan dijangka mengubah pasaran tenaga, dasar, dan operasi sistem kuasa Vietnam ke arah mencapai NET ZERO. Kami teruja menjadi sebahagian daripada kemajuan ini sebagai perintis,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengurus Kanan CSR EVM, Emil Lin berkata, sebagai syarikat pembuatan kasut di Vietnam untuk jenama antarabangsa terkemuka, kelestarian adalah teras operasi EVM.

“Kerjasama ini dengan Solarvest dan PECC2 merupakan langkah penting dalam perjalanan kami ke arah mencapai matlamat hijau kami.

“Dengan mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui dalam proses pengeluaran kami, kami bukan sahaja mengurangkan jejak karbon kami tetapi juga selaras dengan matlamat kelestarian global EP Group.

“Kerjasama ini menunjukkan komitmen kami terhadap inovasi dan pengurusan alam sekitar, sambil terus menjadi contoh dalam industri pembuatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi PECC2, Nguyen Hai Phu berkata, kerjasama itu merupakan langkah maju yang penting, membolehkan PECC2 menyediakan tenaga hijau berskala besar kepada operasi EVM di Vietnam.

“Kerjasama ini lebih daripada sekadar perjanjian undang-undang; ia mencerminkan visi bersama untuk mengatasi cabaran dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

“Dengan menggabungkan kepakaran kami, kami berhasrat menangani halangan dari segi akses, peraturan, kewangan, dan teknikal, sekali gus mempermudah pelaksanaan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan penyertaan dalam Mekanisme DPPA bagi projek tenaga boleh diperbaharui,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya